KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak tidak harus mempersoalkan kenapa Muafakat Nasional (MN) tidak didaftarkan kerana ia bukan ditubuhkan sebagai sebuah parti politik.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, piagam yang ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 14 September 2019 adalah satu piagam berkaitan penyatuan ummah bukannya piagam politik.

‘’ (maknanya) ia tidak mengekang malah tidak ada sepatah pun menyebut Pas tidak boleh menjadi anggota parti mana (lain) UMNO tak boleh menjadi anggota parti mana (lain). Piagam tersebut ialah hanya piagam menyatukan orang Melayu dan orang Islam.

”Kita membuka pintu kepada sesiapa nak masuk, yang percaya dan mahu bersama-sama untuk kita satu padukan orang Melayu dan Islam,’’ katanya dalam wawancara bersama Studio UN9, malam tadi.

Beliau berkata, tiada hasrat gerakan penyatuan ummah itu yang kemudiannya dikenali Muafakat Nasional dijadikan entiti politik baharu.

‘’UMNO masih dengan UMNO, Pas masih dengan Pas. UMNO dan Pas ibarat air dan minyak, ia tak kan bercampur.Ia kerana Pas berdasarkan ideologi kepada agama Islam, UMNO pula adalah sebuah parti atau gerakan yang ditubuhkan berasaskan perjuangan,’’ katanya.

Sehubungan itu beliau menegaskan, MN masih berjalan dengan baik biarpun Pas sudah menjadi anggota Perikatan Nasional (PN).

‘’Kita masih bermesyuarat lagi, saya Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal dengan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, telah arahkan kita merancang pelan seterusnya selepas ini supaya asas kepada pergerakan massa diperkasakan lagi dan orang Melayu serta umat Islam jangan berpecah sangat,’’ katanya.

Mengimbas kembali penubuhan MN, Mohamad berkata, walaupun ada sebab-sebab lain yang menjadi punca Barisan Nasional (BN) kalah PRU-14, namun sebab utamanya orang Melayu terlampau banyak berpecah, banyak parti dan sokong membawa rebah.

‘’Jadi hasrat saya yang ketika itu menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO ialah selain mahu memperkasakan parti dan menyusun strategi menghadapi PRU-15, kita mahukan satukan orang Melayu. Ia memandangkan saya lihat selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada Mei 2018, orang Melayu yang duduk di tanah air sendiri terhina sangat macam menumpang kasih di rumah orang, agama kitapun diperlekehkan,’’ katanya.

Justeru kata Mohamad, selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pas di rumah beliau, mereka bersetuju supaya orang Melayu, orang Islam lupakan apa yang sudah lepas.

‘’Dua organisasi Melayu terbesar di tanah air UMNO dan Pas perlu menjalin kerjasama untuk membawa orang Melayu (termasuk) yang tidak berparti berada di atas satu platform dipanggil penyatuan ummah supaya bersatulah. Berbeza ideologi atau pandangan tidak mengapa tetapi asalkan jangan kita berbalah antara satu sama lain, (kerana) akhirnya kita rugi.

”Itu sebabnya semasa menentang ICED kita mengumpul orang beratus ribu tak payah tajapun, tak payah taja baspun, masing-masing datang sendiri. NGO-NGO Melayu Islam sama-sama mendokong. NGO anak mudapun bersama kerana semangat penyatuan ummah itu tetapi ia bukan bertujuan menjadi parti politik,’’ katanya.

Kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, penyatuan ummah atau Muafakat Nasional adalah satu gerakan massa yang membolehkan semua orang bergerak atas asas agama bangsa dan tanah air seperti pertubuhan Nadhathul Ulama dan Muhammadiah di Indonesia dan Muslim Brotherhood yang ada di seluruh dunia.