Baru-baru ini seorang pelakon berhijab telah memuat naik gambarnya memakai rambut palsu berwarna merah di laman sosial Instagramnya. Penampilannya yang menyerupai watak superhero Black Widow itu telah mengejutkan wargamaya yang rata-rata mengenalinya sebagai seorang artis wanita yang manis berhijab.

Hadir dalam satu majlis sambutan hari jadi bertemakan cosplay, pelakon tersebut bukan sahaja berpenampilan begitu, malah menerusi rakaman video yang dimuat naik, turut dilihat menyertai permainan mencari suami sehingga mengundang kecaman wargamaya yang melihat tindakannya mempersenda dan bertentangan dengan syariat agama.

Islam melihat hiburan sebagai medium yang harus kerana itu fitrah sebagai seorang manusia. Namun ada batasan-batasan tertentu yang wajib diikuti. Perbuatan memakai kostum tidak salah jika tidak bertentangan dengan agama, tidak menyerupai dewa-dewi atau melampaui batas sehingga mempermainkan syiar agama.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-An’am: 70

“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan dan mereka pula telah diperdayakan oleh hehidupan dunia”

Perbuatan memakai rambut palsu jelas dilarang di dalam Islam dan hukumnya haram. Dalam sebuah hadis daripada Asma’ bint Abi Bakr r.a. bahawa seorang wanita telah datang menemui Baginda s.a.w. lalu mengadu kepadanya,

Wahai Rasulullah, aku mempunyai seorang anak yang baru menikah. Dia telah terkena penyakit cacar sehingga menyebabkan rambutnya keguguran. Bolehkah aku menyambung rambutnya (dengan rambut palsu)?”. Lalu Baginda s.a.w. bersabda “Allah melaknat al-Washilah (orang yang menyambung rambutnya) dan al-Mustaushilah (orang yang minta disambungkan rambutnya)”. HR Muslim.

Hadis di atas jelas menyebutkan haram bagi mana-mana wanita menyambung rambutnya atau memakai rambut palsu sekalipun ada asas yang kuat apatah bagi yang memakainya untuk tujuan hiburan.

Memang terdapat pandangan ulama yang membenarkan memakai rambut palsu dan hukumnya harus dengan syarat hanya untuk tontonan mahramnya sahaja atau dengan keizinan suami. Manakala rambut palsu yang digunakan itu mestilah dari bahan yang suci seperti bahan sintetik (nylon).  

Akan tetapi sekiranya ia menggunakan bahan seperti bulu haiwan atau rambut manusia maka hukumnya haram kerana bahan tersebut dianggap tidak suci. Wallahu a’lam