KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO bukan dayus dan beliau sama sekali tidak akan berdiam diri jika parti itu terus ditekan oleh Parti Bersatu.
Tegas beliau, Parti Bersatu sepatutnya berusaha untuk merampas kerusi milik pembangkang yang dahulunya rakan mereka dalam Pakatan Harapan bukannya menganggu kubu UMNO.
“Kita bukan dengki atau nak bunuh siapa-siapa tetapi kau (Bersatu) yang nak bunuh kita. Takkan UMNO dayus nak diam sahaja. Saya selaku timbalan presiden parti saya akan lawan untuk parti,” katanya dalam wawancara bersama Studio UN9 yang disiarkan secara melalui langsung, melalui Facebook, malam tadi.
Beliau berkata, UMNO,Pas dan Bersatu sudah mencapai kesepakatan bahawa tidak ada pertandingan tiga penjuru melibatkan ketiga-tiga parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) oleh itu persetuju tersebut harus dihormati.
“Kita dah setuju, dia (PPBM) mesti hormati asas ini. Kenapa nak berkubang dalam kubang kita? Kau pergilah berkubang dalam kubang PKR-Amanah-DAP yang ada dekat 100 kerusi boleh rebut. Sesuatu tak betul di sini,” katanya.
Mohamad berkata, Bersatu sepatutnya menggunakan strategi berbeza daripada UMNO dengan menumpukan kawasan yang dikuasai oleh PKR, DAP dan Amanah.
“Saya tidak faham kenapa Bersatu mahu ‘mengganggu’ rumah tangga UMNO, sepatutnya Bersatu gunakanlah strategi lautan biru, ni kau nak berkubang dalam ‘red ocean’ (kubu) yang dah sesak dengan UMNO dan Pas. Ni datang lagi seorang nak rebut ‘market share’ (kubu) kita.
”Sudah tentu UMNO tak suka… tak selesa. Apatah lagi ada gerakan-gerakan untuk melemahkan UMNO, janganlah salahkan UMNO (jika bertindak balas),” katanya.
Hubungan antara UMNO dan Bersatu menjadi tegang dan kini ibarat ‘telur di hujung tanduk’ apabila 143 bahagian UMNO yang bermesyuarat minggu lalu menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.
Ia sebagai tindak balas terhadap tindakan Bersatu yang dikatakan berusaha melemahkan UMNO termasuk didakwa menggunakan wang bagi membeli ahli UMNO untuk membolehkan cawangan Bersatu ditubuhkan. Majlis Tertinggi UMNO akan bermesyuarat esok bagi membincangkan pendirian bahagian-bahagian UMNO sebut.