
KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja meluluskan permohonan 2.5 juta pemohon skim pengeluaran i-Sinar daripada keseluruhan 3.88 juta ahli yang membuat permohonan.
Menurut KWSP, jumlah pengeluaran semasa yang diluluskan adalah RM19.62 bilion, dengan pembayaran bulan pertama berjumlah RM10.07 bilion yang akan dibuat secara berperingkat bermula 5 Januari.
“KWSP menyatakan sebahagian besar baki 1.4 juta permohonan yang belum diluluskan, berada di bawah kriteria Kategori 2 dan mereka boleh membuat permohonan mulai 11 Januari ini,” kata agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli yang berada dalam Kategori 2 dinasihatkan untuk menyediakan dokumen-dokumen berkaitan seperti slip gaji rasmi (yang memperincikan jumlah gaji termasuk lebih masa dan komisen) dan/atau penyata bank untuk dimuat naik bersama permohonan baharu di laman web i-Sinar.
“Untuk memastikan proses permohonan yang lancar dan cepat, ahli harus memastikan semua dokumen sokongan yang dikirimkan jelas, sah dan tepat untuk menyokong permohonan. Maklumat lebih lanjut boleh didapati di isinar.kwsp.gov.my,” tambah KWSP. – UTUSANTV