SECARA jujur penulis tidak teruja untuk mengetahui sama ada Majlis Tertinggi UMNO akan memutuskan menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau tidak. Ia kerana dengan pelbagai ‘serangan’ oleh parti itu terhadap Bersatu dalam tempoh seminggu dua ini, penarikan sokongan itu bukanlah kejutan lagi.

Sebenarnya sejak beberapa bulan lalu lagi agenda menarik sokongan daripada Kerajaan PN sudah digerakkan. Pelbagai cerita kita dengar termasuklah pertemuan demi pertemuan yang didakwa melibatkan pemimpin kanan UMNO diadakan bagi mengatur strategi bagi tujuan tersebut.

Penulis tidak salahkan UMNO. Memang wajarpun tindakan tersebut dilakukan sebagai tindak balas terhadap keangkuhan Bersatu yang melayan UMNO bagaikan ‘melukut di tepi gantang’, biarpun ‘nyawa’ Kerajaan PN ada dalam genggaman UMNO.

UMNO sudah lama bersabar, UMNO sudah lama bertahan dan UMNO sudah lama memberi isyarat kepada Bersatu supaya jangan melakukan tindakan yang boleh menjejaskan kesepakatan antara kedua-dua parti. Malangnya ada dalam kalangan pemimpin-pemimpin Bersatu buat-buat tidak faham dan merasakan parti mereka sudah cukup hebat.

Sikap kompromi yang tinggi ditunjukkan oleh UMNO dengan memberi laluan kepada Bersatu menduduki jawatan Perdana Menteri dan tetap menyokong biarpun tidak diberi jawatan Kabinet yang signifikan serta memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 seolah-olah tidak dihargai.

UMNO tetap dilayan bagaikan sebuah parti yang tidak apa-apa kekuatan, akhirnya berlaku tindakan politik seperti mana kita saksikan ketika ini.

Oleh itu kalaulah benar Kerajaan PN jatuh jangan salahkan UMNO sahaja, pemimpin-pemimpin Bersatu juga bertanggungjawab memungkinkan itu berlaku. Janganlah berlagak seolah-olah mereka ‘tidak ada dosa’ dalam hal ini.

Kalau Bersatu berhasrat menjadi salah satu parti alternatif kepada orang Melayu maka berpolitik secara jujur, jangan bersikap ‘kawan makan kawan’, ‘tangan kanan bersalam, tangan kiri mengenggam erat belati di belakang.’

Hentikan sebarang gerakan untuk ‘mencuri’ ahli parti lain, kalau betul perbuatan itu berlaku. Pemimpin UMNO tidak akan bercakap sebarangan kalau tidak ada bukti, apatah lagi melibatkan tuduhan serius seumpama itu.

Bersatu perlu ingat banyak luka antara parti itu dengan UMNO masih mengalir. Mulutpun jagalah sikit, jangan main sedap cakap sahaja.

Penulis percaya kalau Bersatu benar-benar jujur dan ikhlas dalam persahabatan dengan UMNO demi kepentingan Melayu, insyaallah tidak ada apa-apa masalah antara parti itu dengan UMNO.

Namun begitu sikap Bersatu tersebut tidak mampu menghentikan persoalan adakan apa yang dilakukan oleh UMNO adalah tindak balas berkesan bagi membalas dendam terhadap layanan yang diterima dalam Kerajaan Perikatan Nasional?

Betul, berdasarkan mesyuarat bahagian ahli-ahli UMNO tidak mahu mengadakan kesepakatan dengan Bersatu tetapi adakah mereka rela parti keramat orang Melayu itu berkira-kira mahu bergabung dengan DAP?

Penulis percaya tidak ada bahagian UMNO termasuklah diketuai oleh pemimpin yang berusaha mahu menjalin kerjasama dengan DAP menghasilkan usul menyokong gabungan UMNO dengan musuh ketatnya itu.

Memang benar dalam politik apa sahaja berlaku, kalau tidak, mana mungkin seorang bekas Presiden UMNO boleh berpakat dengan pembangkang menjatuhkan parti itu dalam PRU14 lalu dan mana mungkin seorang lagi bekas Presiden UMNO jauh lebih popular daripada Presiden sedia ada, tetapi tidak mengapa inilah politik.

Tidak mahu lagi bekerjasama dengan Bersatu, silakan tetapi jangan melakukan tindakan yang boleh merugikan parti itu. Kalau masih ada pemimpin-pemimpin UMNO yang menganggap bekerjasama dengan DAP akan menguntungkan parti itu dalam pilihan raya, hanyalah satu pendirian mengikut nafsu amarah, bukannya dengan jiwa yang tenang.

Penulis percaya, jika UMNO kerjasama itu diwujudkan parti itu akan berantakan dan majoriti pemimpin dan ahli UMNO akan bangkit menentang kepemimpinan parti. Perlu diingat beberapa pemimpin kanan UMNO sudah menyatakan dengan tegas akan menolak kerjasama seumpama itu.

Ia sudah tentulah akan menyebabkan UMNO berpecah belah, akhirnya hanya disebabkan marah kepada Bersatu, UMNO pula yang berpeccah belah.

Lebih baik jika UMNO kekal berada dalam Kerajaan PN sehingga PRU-15 demi kepentingan rakyat. Apabila pilihan raya bertarunglah habis-habisan untuk kembali berkuasa. UMNO mungkin tidak mampu berkuasa kalau bersendirian memandangkan kelemahan yang ada kepada komponen BN tetapi ia bukan tiket untuk UMNO bekerjasama dengan DAP.

UMNO perlu faham yang akan mengundi bukan ahli UMNO sahaja tetapi jutaan lagi pengundi khususnya orang Melayu yang tidak berparti. Mereka inilah penentu kemenangan UMNO, mereka inilah yang akan membuat keputusan sama ada UMNO akan berjaya atau kecundang dalam pilihan raya nanti. Tidak payah memberikan pelbagai hujah untuk membolehkan kerjasama dengan DAP dilakukan termasuklah ‘DAP sekarang bukan DAP lah yang dahulu’.

Bagaimanapun kalau UMNO membuat keputusan untuk meninggalkan Kerajaan PN, parti perlu memperkukuhkan kerjasama dengan Pas. Kedua-dua parti itu perlu memastikan tidak bertembung antara satu sama lain.

Soal Pas berada dalam PN, ia bukanlah halangan memandangkan Muafakat Nasional bukan entiti politik yang mengikat sama ada UMNO atau Pas untuk bergabung dengan parti lain.

Apa yang penting jangan bertembung sesama sendiri. Kalau Bersatu mahu bertanding di kawasan UMNO, biarkan sahaja. Mungkin hanya beberapa kerusi sahaja parti itu boleh menang. Bersatu tidak ada kekuatan akar umbi seperti UMNO dan Pas. Mungkin ada yang berkata, pertembungan tiga penjuru itu hanya akan memecahkan undi orang Melayu dan boleh menyebabkan mereka kalah.

Tidak payahlah buang masa bercakap soal itu, kalaulah parti-parti Melayu tidak mahu kalah sudah pastilah mereka akan mempertahankan Kerajaan PN. Kalau mereka tidak mahu kalah sudah tentu Bersatu tidak akan melakukan tindakan yang dilihat mahu melemahkan UMNO dan kalau tidak mahu kalah sudah tentu mereka tidak membiarkan ‘panglima siber’ masing-masing menyerang antara satu sama lain.

Namun UMNO perlu berhati-hati dalam tindakannya manakala Bersatu pula, kemarahan UMNO adalah pembalasan terhadap parti itu kerana tidak tahu membalas budi dan tidak belajar menghormati kawan.

Apapun perbalahan kedua-dua parti itu tidak akan menguntungkan orang Melayu tetapi tidak mustahil juga orang Melayu pun sudah tidak peduli memandangkan pemimpin Melayu bagaikan tidak pernah mengenal erti keinsafan. Dan pernah jatuh terdudukpun, masih tak sedar diri…’kasihan’.