PUTRAJAYA – Surat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, cubaan bekerjasama dengan DAP dan gangguan kepada kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Itu antara tiga faktor utama yang dinyatakan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang membawa kepada perbezaan pendapat antara beliau dengan Pengerusi, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid sehingga dipecat semalam.
Dalam sidang akhbar beliau di Putrajaya hari ini yang berlangsung kira-kira sejam itu, Annuar dengan tegas berkata, beliau tidak mahu bersubahat dengan Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN dalam perkara-perkara tersebut.
Mengakui persaan saling percaya dan meyakini yang perlu ada di antara Pengerusi dan Setiausaha Agung yang kini sudah berubah, Menteri Wilayah Persekutuan itu menjelaskan, beliau hanya berpegang kepada keputusan parti sebelum ini bahawa ‘No DAP, No Anwar’.
“Perbezaan pendirian ini menuntut saya mengambil ketetapan untuk tidak bersekongkol dengan gerakan-gerakan yang tidak selari dengan keputusan rasmi Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
“Dengan perbezaan prinsip ini, adalah lebih baik saya tidak bersubahat dengan hala tuju Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu.

Ditanya lanjut mengenai surat sokongan Zahid selaku Presiden UMNO kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, Annuar berkata, beliau tahu semua sekali termasuk surat tular Zahid yang diutuskan kepada Istana Negara sebenarnya adalah tulen..
“Surat Presiden UMNO sokong anwar adalah tulen. Sokong menukar Perdana Menteri, menjatuhkan kerajaan dan janji kesetiaan pada Anwar
“Cuma sebelum ini kita tak bincang. Atas dasar dua mudarat, kita elak mudarat besar.
“Tapi oleh kerana ini perbezaan pendapat besar anatara saya dan pengerusi, saya perlu terang jika tidak ahli tak tahu,” tegasnya.
Berhubung rundingan dengan DAP, Annuar mendedahkan satu tarikh bertemuan yang berlangusng pada 17 Oktober dan beberapa pertemuan lain yang enggan disebutnya secara terperinci.
“Ini bukan dilakukan UMNO tapi individu. Perjumpaan itu beberapa kali. Termasuk kutip SD (akuan berkanun) untuk gagalkan bajet kerajaan.
“Antara tarikh perjumpaan 17 Oktober. Saya sebut satu, boleh cross check sama ada yang sebut tu akan berlaku
“Saya keliru, tapi orang sokong Anwar Ibrahim bagi surat hitam putih, senyap-senyap malam berunding DAP tak salah. Tapi saya pula salah,” ujarnya.
Menurut Annuar, dengan tidak lagi menjadi Setiausaha Agung BN, beliau lebih bebas bertindak dan membuat pendirian politik mengikut hati nurani dan ‘conscience’ sendiri bersama rakan-rakan yang sealiran.
Justeru, katanya, dengan penuh redha, beliau menerima pemecatan ini dan berserah kepada Allah SWT.
“Saya akan terus berjuang atas wadah perjuangan UMNO dan akan terus menyumbang ke arah UMNO yang bermaruah, berintegriti dan kekal memimpin Penyatuan Ummah dan menunjangi permuafakatan nasional.
“Saya menyeru semua ahli UMNO merapatkan saf dan menjunjung tinggi dasar dan faslafah perjuangan parti. Kepada parti sahabat BN, PN, MN, GPS, GRS, berusahalah agar tiada perpecahan antara kita.
“Kepada kepimpinan PAS, saya harap kekal berjiwa besar dan tidak berputus asa berikhtiar untuk memperkukuhkan MN. Kepada kepimpinan BERSATU, fahamilah sensitiviti akar umbi UMNO dan mengambil langkah ke arah memperbaiki perpaduan Melayu.
“Kepada rakan-rakan 12 parti dalam PN, berusahalah agar tidak berpecah belah agar kerajaan ini stabil dan dapat menumpukan agenda keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara,” ujarnya.
Jom ikuti channel Telegram UtusanTV untuk tidak terlepas berita terkini dan sensasi