Sharnaaz Ahmad ‘naik angin’ dengan individu ‘buta perut’ tak kuarantin kendiri

0
2924
SHARNAAZ Ahmad bengang dengan golongan yang tidak mengikuti SOP

Aktor Sharnaaz Ahmad meluahkan rasa kesal terhadap individu yang masih gagal mematuhi  prosedur operasi standard (SOP) ketika bercuti di sebuah pulau peranginan dan golongan yang melakukan aktiviti berbasikal.

Berang dengan sikap acuh tak acuh individu yang terkesan, Sharnaaz atau Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad turut meluahkan kerisauan andai kerajaan bakal melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya bukanlah ‘batak’  populariti, Cuma saya nak beritahu ramai yang di negeri yang sebelum ini sudah zon hijau kini bertukar warna.

“Saya nak pesan kepada geng yang pergi bercuti tempoh hari. Saya sendiri kayuh basikal tapi tidaklah ke tahap sampai masuk pertandingan.

“Tapi disebabkan konon nak ‘recovery ride’, ramai yang bejangkit sehinggakan kedai makan terpaksa ditutup. Ada fikir tak semua itu sebelum buat?,” katanya dengan nada kesal.

TANGKAP layar video yang dimuat naik oleh Sharnaaz

Sharnaaz turut menyeru kepada mereka yang sudah membuat ujian calitan (swab test) untuk terus berada di dalam rumah dan menjalani tempoh kuarantin kendiri.

“Ada yang pergi kayuh basikal konon untuk sihatkan badan, kemudian balik jumpa orang di merata tempat. Kita sekarang ini berada dalam keadaan yang sangat genting (crucial).

“Saya masih tak faham kenapa ada golongan yang telah pergi tempat yang dikhuatiri berjangkit dan telah pun membuat swab test tetapi tidak terus berada di rumah untuk jalani kuarantin kendiri.

“Saya bercakap fasal hal ini kerana rakan rapat saya turut terkesan dan marah kepada yang ‘buta perut.

“Saya seru tolong kuarantin diri di rumah dan elak berjumpa dengan orang lain. Kesian pada yang baru nak ‘bernafas’ balik selepas setahun terkesan dengan wabak ini,” ujarnya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Instagram.

Dalam pada itu, bintang filem Juvana ini bimbang jika kerajaan akan menguatkuasakan di semua negeri berikutan angka penularan Covid-19 semakin meningkat.

“Saya risau nanti akan ada PKP balik. Sekarang ini pun banyak penggambaran terpaksa dihentikan, macam mana nak cari makan? Nanti sejarah mungkin berulang semula, orang akan hentam artis kata minta bantuan.

“Disebabkan nila setitik, ramai yang tidak bersalah turut terkena musibah yang sama. Nak cakap banyak pun tak guna, tapi nak pesan kepada yang ada kontak rapat tolong duduk di rumah.

“Saya doakan keluarga, kenalan rapat dan semua rakyat Malaysia selamat. Kepada yang ‘buta perut’ tolong dengar cakap,” tegasnya.

TONTON VIDEO PILIHAN: