KOTA BHARU – Pengguna jalan raya yang didapati membuang sampah dari kenderaan boleh didenda hingga RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan, kata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan.

Merujuk kepada satu klip video yang tular semalam, jabatan itu berkata pihaknya telah mengeluarkan notis temu siasat kepada pemilik sebuah kenderaan berhubung tindakan seorang wanita melontar sampah keluar dari kenderaan tersebut yang dipercayai berlaku di Kelantan.

Perbuatan itu menyalahi Kaedah 52 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan pelaku boleh diambil tindakan menurut Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, demikian menurut kenyataan itu.

Menurut jabatan itu lagi, pelaku yang mengulangi kesalahan sama akan berdepan hukuman denda hingga RM4,000 atau penjara tidak lebih dua bulan, atau kedua-duanya.

Semalam, tular satu klip video memaparkan sebuah kenderaan berhenti di tepi jambatan sebelum seorang wanita membuang bungkusan plastik ke dalam sungai dengan melontarnya melalui tingkap kenderaan itu.

Sementara itu, sama ada industri mahu pun individu, kebersihan sungai yang menjadi sumber air seharusnya tiada kompromi.

Apatah lagi, banyak gangguan bekalan air kebalakangan ini akibat pencemaran sumber air mentah oleh industri dan kilang haram.

Sebab itu, apabila rakaman video seorang wanita membuang sampah ke dalam sebatang sungai tular, Menteri Air dan Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan rasa kecewa dengan sikap segelintir anggota masyarakat.

“Saya ingin melahirkan rasa kecewa di atas sikap yang ditunjukkan.

“Dalam usaha kementerian melancarkan kempen menjaga sungai, masih ada segelintir masyarakat yang tidak mempedulikan kebersihan sumber air kita.

“Pelaku seharusnya insaf dan diharap dapat memohon maaf atas sikap buruk yang ditunjukkan itu. Terima kasih kepada yang membuat rakaman,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Beliau mengulas video tular sebuah kereta yang berhenti di atas jambatan dan membuang sampah ke dalam sungai.