KOTA BHARU – Saka atau sampah, sebuah pihak berkuasa atempatan (PBT) di Kelantan tetap mengeluarkan kompaun ke atas individu yang membuang beg plastik dari ke kenderaan ke dalam sebatang sungai di Tanah Merah.
Rakaman video perbuatan tersebut yang tular sejak kelmarin mengundang cemuhan warga maya kerana kesal dengan perbuatan mengotori sungai.
Memetik laporan Malaysiakini, kompaun berkenaan dikeluarkan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM).
Setiausaha MDTM Fiesal Abdullah berkata, pihaknya juga membuat siasatan dan menemui individu berkenaan.
“Mereka menyatakan objek yang dibuang itu merupakan saka selepas menjalini rawatan secara tradisional.
“Bagaimanapun kita tetap mengambil tindakan atas kesalahan membuang sampah ke sungai. Kompaun dikeluarkan kepada wanita tersebut,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Terdahulu, video seorang wanita yang membuang sampah ke dalam sungai menerusi tingkap kereta di sebuah jambatan di Tanah Merah, Kelantan, tular di media sosial.
Ia mengundang kecaman daripada netizen selain mendapat perhatian Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook malam tadi melahirkan rasa kesal dengan perbuatan membuang sampah ke dalam sungai selain berharap individu berkenaan tampil memohon maaf.
Selain PBT, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga menjalankan siasatan ke atas tindakan individu tersebut kerana bertentangan dengan Akta Pengangkutan Jalan.