Demokrasi di serata dunia sedang mengalami perubahan. Ada yang sudah runtuh, bangkit kembali dan ada juga sedang mengalami keruntuhan.

Di Malaysia, angin perubahan demokrasi berlaku sejak 2013 dan memuncak pada 2018 sehingga sekarang. Malangnya demokrasi – pemerintahan oleh rakyat – yang kita anut tidak lagi menjanjikan kesejahteraan rakyat dan kedamaian bernegara.

Semuanya kerana ulah politikus. Di Amerika Syarikat (AS), punca utamanya kerana Donald Trump. Presiden AS yang kalah kepada Joe Biden tidak mahu menerima keputusan pilihan raya.

Trump memberi harapan kepada pengikutnya bahawa beliau sepatutnya terus berkuasa di White House. Atau dengan kata mudah beliau menghasut penyokongnya supaya terus mempertahankan kedudukannya itu. Bermacam tuduhan kecurangan dan penipuan terus dilemparkan walaupun pasukan Trump turut kalah dalam tuntutan di mahkamah.

Semalam, empat penyokong Trump terbunuh dalam protes di bangunan Capitol, Washington. Bangunan Capitol adalah simbol keagungan demokrasi AS dan hari ini telah diceroboh sehingga seorang rakyatnya terbunuh.

Penyokong Trump menyerbu ruang sidang utama Capitol. Keadaan ini memaksa anggota kongres dipindahkan. Aksi memalukan ini ditonton secara live. Gawang juara demokrasi ini tidak dapat dipertahankan lagi. Terus bolos.

Di Malaysia, politikus memanipulasi demokrasi seenak mereka sahaja. Melompat parti, mengkhianati kesepakatan dan bermesyuarat di bilik gelap seperti sudah menjadi amalan baik. Bila musim melompat parti segala hujah menghalalkannya dibuat. Begitu juga bila musim mengkhianati kesepakatan, hujah menyucikan tindakan itu ditanam ke minda rakyat.

Rakyat pun keliru. Pemimpin yang sepatutnya memberi teladan bersikap sebaliknya.
Politik memusnahkan ini bukan berkurang bahkan semakin menjadi-jadi. Keputusan parti politik tidak lagi kelihatan dan dilihat berdasarkan keperluan dan kehendak rakyat, umat atau ummah – perkataan sakti yang selalu menjadi dendangan.

Kita pun semakin muak dengan jargon-jargon atau perkataan-perkataan khusus yang digunakan orang politik ini. Rimas kerana tidak pun terlihat menjadi pegangan. Banyak keputusan politik dan tindakan mereka tidak menyebelahi rakyat. Hanya untuk kepentingan mereka sahaja.

Bagus juga untuk rakyat. Hikmahnya daripada peristiwa-peristiwa pasca Plihan Raya Umum ke-14 ini, baru kita dapat lihat wajah sebenar mereka. Kita jadikan bekalan untuk memandu kita semasa membuat pilihan dalam pilihan raya yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Tentu sekali kita tidak akan memilih pemimpin seperti Trump yang berhelah tidak mahu mengaku kalah walaupun fakta menyatakan sebaliknya. Tindakan yang hanya membawa kerosakan teruk kepada negara sendiri.

Dalam konteks yang lebih dekat, kita tolak pemimpin dan parti yang menggunakan kekuasaan untuk kepentingan lain selain rakyat.

Sekarang ini, kita perhati dan amati perilaku mereka.
Perhatikan tingkahlaku mereka apabila diberi kuasa. Juga, amati kelakuan mereka yang tidak henti-henti mengejar kekuasaan. Tidak perlu pening-pening, tiba waktu kita buatlah keputusan. Asal jangan mengulangi kesilapan lalu.

ELYA HAMZAH
Shah Alam
Selangor