Masih ingatkah anda tragedi empat beradik yang dibunuh kejam di Geylang, Singapura pada tahun 1979? Kisah menyayat hati itu amat meruntun hati, apatah lagi pasangan suami isteri tersebut hilang sekelip mata kesemua anak mereka.
Begini sorotan kisahnya…
6 Januari 1979, lebih kurang pukul 6.30 pagi. Seperti biasa pasangan suami isteri Tan Kuen Chai dan Lee Mei Ying keluar dari rumah. Memang begitu rutin mereka setiap pagi kerana mereka berdua bekerja untuk menghantar kanak-kanak ke sekolah. Pasangan ini mempunyai sebuah bas mini yang digunakan untuk mengambil dan menghantar murid. Itulah sumber pendapatan mereka.
Pasangan ini tinggal di salah sebuah pangsapuri bernombor 58 di kawasan kejiranan Geylang Baru, Kallang, Singapura. Mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki dan seorang perempuan.
Anak sulung bernama Tan Kok Peng, berusia 10 tahun. Anak kedua bernama Tan Kok Hin berusia lapan tahun. Manakala anak ketiga bernama Tan Kok Soon berumur enam tahun. Paling bongsu ialah anak perempuan pasangan ini bernama Tan Chin Nee berumur lima tahun.
Tiga anak lelaki pasangan ini bersekolah di Sekolah Rendah Jalan Bendemeer. Sementara anak bongsu mereka diletakkan di sebuah pusat asuhan kanak-kanak.
Pada hari kejadian, pagi itu seperti biasa Kuen Chai dan Mei Ying meninggalkan keempat orang anak mereka di rumah. Ia menjadi kebiasaan bagi mereka berdua berbuat demikian setiap hari.
Selalunya, selepas mereka selesai dengan tugasan menghantar murid-murid sekolah, mereka akan menghubungi anak sulung mereka menerusi panggilan telefon pada pukul 7.10 pagi. Panggilan telefon itu dibuat sebagai pemberitahuan agar kesemua anak-anak mereka boleh bersiap sedia untuk dihantar ke sekolah.
Malangnya, pada hari itu panggilan telefon tidak diangkat oleh anak mereka. Sebanyak tiga kali panggilan dibuat oleh pasangan suami isteri berkenaan. Namun, mereka gagal menghubungi anak-anak mereka di rumah.

Bimbang sesuatu terjadi, Kuen Chai dan Mei Ying menghubungi jiran terdekat dan meminta bantuan untuk memeriksa keadaan anak-anak mereka di rumah. Difahamkan, jiran berkenaan mengetuk beberapa kali pintu rumah milik pasangan terbabit. Namun, tiada sebarang respons diterima daripada anak-anaknya di dalam rumah.
Pada pukul 10.00 pagi, Kuen Chai dan Mei Ying pulang untuk melihat keadaan anak-anak mereka. Sebaik masuk ke dalam rumah, jantung mereka seakan gugur melihat pemandangan ngeri di dalam rumah mereka. Luluh hati melihat keempat-empat anak mereka sudah tidak bernyawa lagi.
Jasad empat adik-beradik tersebut ditemui oleh ibu bapa mereka dalam keadaan berlumuran darah di dalam sebuah bilik mandi. Lebih menyayat hati, bahagian lengan anak sulung pasangan itu hampir putus kemungkinan dikerat dengan menggunakan senjata tajam.
Berdasarkan laporan patologi, kematian empat orang adik-beradik terbabit berpunca akibat kecederaan serius pada keseluruhan anggota badan. Lebih 20 kesan kelar dan torehan ditemui pada tubuh badan empat beradik itu.
Difahamkan, kes pembunuhan empat orang beradik ini dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah dan Seksyen Siasatan Khas tempatan. Hasil siasatan lanjut dijalankan mendapati, tiada bukti pecah masuk atau barangan hilang dilaporkan.
Pada masa yang sama, pihak berkuasa percaya pembunuh menggunakan dua jenis senjata tajam (salah satunya pisau pemotong daging) untuk membunuh empat orang kanak-kanak berkenaan. Dua jenis senjata terbabit kemungkinan diambil oleh suspek di bahagian dapur rumah mangsa.

Sementara itu, pihak penyiasat turut membuat kesimpulan bahawa kejadian bunuh ini telah dirancang awal oleh suspek. Malah, individu berbahaya itu disifatkan sebagai seorang yang berhati-hati. Penjenayah licik ini difahamkan lebih awal bertindak dengan membersihkan bukti-bukti penting, sekali gus menyukarkan pihak penyiasat mengesan identiti sebenar suspek pembunuh ini.
Kumpulan penyiasat ada menemui dua bukti tidak jelas dalam kes pembunuhan ini. Ia merujuk kesan darah di bahagian singki dan beberapa helai rambut di tangan anak sulung pasangan tersebut. Malangnya, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas dua jenis sampel terbabit masih samar-samar, menyebabkan identiti si pembunuh sukar dijejak.
Kiriman Kad Misteri
Pihak berkuasa tempatan telah menemuramah lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga mangsa, jiran tetangga dan orang ramai bagi menjejaki si penjenayah. Bagaimanapun, rata-rata ditanya tidak memberikan maklumat kukuh terhadap kes pembunuhan tersebut.
Meskipun begitu, salah seorang jiran mangsa bernama Yam Yin Tin menyatakan, dia pernah ternampak seorang individu telah memasuki rumah mangsa. Kehadiran orang tidak dikenali berkenaan dilihat ketika dia sedang berehat di ruang koridor.
Bagaimanapun, dia tidak lama di situ dan segera masuk ke rumah untuk membasuh rambut. Sangka Yin Tin, individu tersebut mungkin saudara jirannya itu dan dia tidak mengesyaki apa-apa dengan keadaan yang dilihatnya itu.

Sementara itu, seorang lagi saksi iaitu seorang pemandu teksi (tidak dinyatakan nama) turut menyatakan sesuatu berhubung kejadian tersebut. Pada hari kes berlaku, dia mendakwa telah mengambil seorang penumpang lelaki pada pukul 8.00 pagi di lokasi 20 Blok 96 Jalan Kallang Baru berhampiran dengan lokasi kejadian.
Dakwa pemandu teksi itu, sebelum memasuki kereta dia melihat lelaki berkenaan jalan terhincut-hincut. Dia juga ternampak kesan darah pada bahagian kiri tangan lelaki tersebut yang juga memegang sebilah pisau sebelum memasuki kereta. Dia menurunkan penumpang itu di jalan Lavender.
Dua minggu selepas tragedi hitam itu, pasangan suami isteri terbabit dikejutkan pula dengan satu kiriman kad misteri. Di situ tertera satu mesej ringkas ditulis berbunyi “Sekarang anda tidak boleh miliki lebih ramai anak, ha..ha..ha..”.
Mesej ditulis dalam bahasa Mandarin itu turut diletakkan tandatangan tertera perkataan ‘pembunuh’. Pengirim misteri berkenaan turut menulis dua perkataan lain dipercayai nama samaran suami isteri tersebut yang tertera ‘Ah Chai dan Ah Eng’.
Ekoran kiriman kad tersebut, pasangan berkenaan mengesyaki ia dihantar oleh seseorang yang mereka kenali. Malah, individu itu mengetahui bahawa Mei Ying tidak boleh mengandung lagi selepas melahirkan anak bongsu mereka.
Berdasarkan deskripsi kes pembunuhan itu, mereka mengesyaki identiti pembunuh empat orang anak mereka mungkin dilakukan oleh salah seorang jiran mereka (warganegara Malaysia). Individu ini dikenal pasti sangat rapat dengan keluarga mangsa.
Difahamkan, individu ini sering datang ke rumah mangsa untuk menggunakan telefon. Malah, empat orang adik-beradik tersebut agak rapat dengan individu terbabit. Mereka memanggil jiran berkenaan sebagai ‘pakcik’.
Bertindak atas maklumat, pihak berkuasa telah menahan jiran tersebut. Pada masa yang sama, mereka turut memanggil pemandu teksi yang memberi maklumat sebelum itu untuk proses pengecaman. Malangnya, pihak berkuasa masih kekurangan bukti menyebabkan individu tersebut dilepaskan.
Tidak lama selepas kes penahanan itu, individu bergelar ‘pakcik’ tersebut telah berpindah dari kawasan kejiranan berkenaan.
Identiti misteri pembunuh kejam empat beradik di Geylang ini terus kekal misteri. Tidak berjaya di bawa ke muka pengadilan, mungkin gembira hidup di atas tangisan suami isteri yang kehilangan kesemua anakya sekaligus.
Tragedi ini menjadi antara berita hangat ketika itu. Kematian tragis empat beradik ini amat meruntun hati semua orang yang mengikuti kes tersebut.
Pada hari ini, di mana agaknya pembunuh itu? Masih hidup, atau sudah mati? Gembirakah hidupnya selepas menamatkan riwayat empat beradik itu?
Jom join channel Telegram UtusanTV untuk tidak terlepas berita terkini dan artikel menarik