Lebih 30,000 dipindahkan, banjir dijangka makin buruk

0
298
Pemandangan udara KM 113 LPT pagi ini. / Gambar FB Anih Berhad

KUANTAN – Bencana banjir di seluruh negara bertambah buruk dengan 31,378 mangsa daripada 8,226 keluarga dipindahkan di enam negeri pagi ini.

Laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara menunjukkan 372 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi di 27 daerah membabitkan Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menyatakan amaran cuaca buruk dengan hujan lebat dijangka berterusan di Pahang membabitkan Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin, selain Segamat, Mersing dan Kota Tinggi di Johor.

Amaran cuaca dikeluarkan MetMalaysia pagi ini

Amaran berwaspada dengan hujan lebat pula dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang) serta Johor (Kluang, Kulai, Johor Bahru).

Di PAHANG jumlah mangsa banjir terus meningkat melibatkan 24,257 mangsa yang ditempatkan di 281 pusat pemindahan di sembilan daerah negeri ini.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan daerah Temerloh mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 5,764 diikuti Maran (5,275), Kuantan (3,461), Lipis (2,551), Jerantut (2,455), Raub (2,182), Rompin (986), Pekan (859) dan Bera (724).

Portal berkenaan turut memaklumkan Sungai Pahang di daerah Bera, Maran, Pekan, Jerantut,Temerloh dan Kuantan sudah telah melepasi tahap bahaya.

Pahang mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi. / Gambar Agensi Pengurusan Bencana Negara

Sementara itu, pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT) ANIH Berhad menerusi laman Twitter memaklumkan laluan KM113 dan KM115 di Lanchang masih ditutup di kedua-dua hala susulan kenaikan air.

Turut ditutup laluan di KM84 persimpangan Lanchang ke persimpangan Karak menghala Kuantan.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di lima jajahan negeri ini menunjukkan peningkatan ketara apabila 4,829 mangsa ditempatkan di 64 PPS, berbanding 2,142 mangsa petang semalam.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Jeli kekal merekodkan bilangan penduduk yang terjejas teruk iaitu 1,688 mangsa, manakala Kuala Krai (1,455), Gua Musang (775 mangsa), Pasir Mas (469) dan Tanah Merah (442).