Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Putra, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - GAMBAR FAIL UMNO ONLINE


Kuala Lumpur – Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mesyuaratnya pada malam ini.

Sebaliknya semua tiga usul utama yang dibangkitkan dalam mesyuarat 189 bahagian minggu lalu termasuk desakan memutuskan hubungan dengan Parti Bersatu hanya akan dibahas dan diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari ini.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, dua lagi usul ialah mempertahankan hubungan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional mengambil kira sentimen permuafakatan yang telah dibina ketika 22 bulan bersama-sama menjadi pembangkang dan menggesa supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat tertakluk kepada keadaan Covid-19.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika tiba untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn. GAMBAR: ABD RAZAK AID

‘’Memandangkan usul-usul tersebut menyentuh soal dasar dan pendekatan asas yang akan mempunyai kesan kepada masa depan parti dan negara maka mesyuarat bersetuju membawa usul itu ke Perhimpuan Agung UMNO,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Keputusan MT UMNO itu dilihat ‘agak mengejutkan’ memandangkan sebelum ini beberapa pemimpin kanan parti itu menegaskan, UMNO akan menentukan kedudukannya dalam Kerajaan PN pada malam ini memandangkan 142 daripada 189 bahagian menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.

Mengenai pemecatan Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Shahril berkata, mesyuarat MT mengambil maklum pertukaran jawatan itu yang digalas semula secara tradisi oleh Setiausaha Agung UMNO.

‘’Perkara ini sudah mendapat persetujuan secara lisan Presiden-Presiden parti komponen dan akan diabsahkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN dalam masa terdekat,’’ katanya.