Pejuang diasaskan Tun Dr Mahathir dengan Presiden Penaja ialah Datuk Seri Mukhriz. / Gambar media sosial

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menolak pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menerusi satu surat yang dikeluarkan pada Rabu.

Turut ditolak, permohanan Ikatan Demokratik Malaysia atau Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) pimpinan bekas Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Memetik laporan portal berita Astro Awani, perkara itu disahkan salah seorang pengasas MUDA, Mutalib Uthman dan peguam Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali, menurut laporan theedgemarkets.com hari ini.

Menurut Muhammad Rafique, pihaknya menerima surat tersebut pada jam 5.45 petang semalam.

Keputusan itu dibuat ketika permohonan semakan kehakiman bagi pendaftaran Pejuang sebagai sebuah parti politik dijadual diperdengar di Mahkamah Rayuan Kuasa-Kuasa Khas 2 pagi ini.

Logo parti Pejuang

Susulan itu, parti tersebut mungkin akan memfailkan rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mempertimbangkan semula keputusan itu.

Syed Saddiq Abdul Rahman antara 13 pengasas MUDA / Gambar media sosial

“Dengan itu, semakan kehakiman yang dijadual hari ini hanya bersifat akademik kerana kami akan terpaksa membuat rayuan secara terus kepada Menteri Dalam Negeri dalam masa 30 hari selepas keputusan itu, menurut Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966,” Rafique dipetik berkata.

Pejuang ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama lima lagi individu pada Ogos 2020.

MUDA pula mempunyai 13 pengasas bersama termasuk Syed Saddiq.