Sering kali kita didengarkan dengan kisah anak kecil menangis sepanjang malam tanpa henti dek kerana diganggu jin. Punca berlaku selepas si anak kecil dibawa keluar rumah ketika remang senja. Begitu juga dalam kisah yang lain, si anak kecil menangis dengan kuat tanpa henti, sambil matanya galak terbelalak memandang ke bumbung seakan melihat sesuatu yang menakutkan. Dikatakan ada sesuatu yang sedang mengganggunya kala itu.
Keadaan anak kecil yang menangis tanpa sebab atau tanpa henti sering terjadi. Ada yang percaya mereka diganggu sejenis jin yang bernama Ummu Sibyan. Jin ini lazimnya mendekati dan mengganggu anak kecil seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis riwayat dari Abu Ya’la,
Benar atau tidak kepercayaan ini, kami ajukan kepada pengasas Pusat Perawatan Islam Manarah, Dr. Jahid Sidek. Dia yang punya pengalaman luas dalam bidang rawatan gangguan jin menyatakan, status hadis ini punya khilaf yang berbeza.
Ada yang mengkategorikannya sebagai hadis maudu’ (palsu), dan ada juga yang melabelkannya sebagai hadis dhaif (lemah). Itu kerana terdapat perawi yang tidak boleh dipercayai dalam hadis tersebut, iaitu Marwan bin Salim al-Ghiffari.
Menurut Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albaniy, “aku katakan sanad hadis ini adalah maudu’. Yahya bin al-Alaa’ dan Marwan bin Salim keduanya telah memalsukan hadis ini”
Kedua-dua perawi ini dikenal sebagai pendusta yang suka memalsukan hadis. Ironinya sebuah hadis yang dhaif apalagi palsu, ia tidak boleh diambil sebagai dalil dan dasar dalam menetapkan suatu urusan agama baik, dalam perkara akhlak, fiqah, ibadah atau lainnya. Apalagi dalam aspek akidah mahupun kepercayaan.
Bahkan Syaikh Abdul Aziz bin Baz menegaskan, perkara-perkara yang dinyatakan oleh manusia tentang Ummu Sibyan semuanya tidak ada dasar. Ia hanyalah khurafat masyarakat awam. Mereka mendakwa dan menyangka bahawa Ummu Sibyan adalah jin wanita yang bersama anak-anak kecil. Hakikatnya semua ini tidak ada dasarnya di dalam Islam.

Demikian pula halnya cerita yang mereka sandarkan kepada Nabi Sulaiman a.s. (tentang perjumpaan Baginda dengan Ummu Sibyan). Antara petikan yang dipopularkan dan sering diambil sebagai penyedap cerita adalah kisah Nabi Sulaiman dengan Ummu Sibyan…
“Nabi Sulaiman bertanya kepadanya, siapakah kamu? Adakah kamu daripada jenis manusia atau jin? Kerana aku tidak pernah melihat orang yang paling hodoh selain daripada engkau. Perempuan itu menjawab: “Akulah Ummu Sibyan (Ibu penyakit sawan) yang dapat menguasai ke atas anak Adam lelaki dan perempuan, aku boleh masuk ke rumah-rumah, boleh berkokok seperti ayam, menyalak seperti anjing, bertebah seperti lembu, bersuara seperti keldai dan kura-kura dan bersiul seperti ular.”
Tegas Dr. Jahid, “Ia juga tidak mempunyai dasar langsung dalam Islam dan tidak teranggap serta tidak boleh dijadikan sandaran.”
Ummu Sibyan jin saka ibu atau bapa
Apabila kita membincangkan tentang gangguan jin terhadap anak kecil sehingga menyebabkan mereka menangis, sebenarnya terdapat dua sebab yang boleh kita jelaskan.
Pertama, anak kecil tersebut memang jenis yang mudah menangis, bukan kerana gangguan jin.
Manakala yang kedua ia memang berpunca daripada gangguan jin, yang umum percaya itulah jin Ummu Sibyan.
Istilah Ummu Sibyan timbul dari matan hadis di atas. Daripada hadis ini kita sedar istilah Ummu Sibyan sudah lama digunakan sejak zaman Arab Jahiliyah lagi. Ia sudah tersebar dan telah wujud kepercayaan tentang sejenis jin yang mengganggu anak kecil.

Apabila datangnya Islam, kepercayaan ini ditimbulkan sehingga ada suruhan melalui hadis agar bayi yang baru lahir perlu diazankan dan diiqamatkan. Tujuannya tidak lain, untuk menghalang jin Ummu Sibyan dari mengganggu.
Walau bagaimanapun, tafsiran terhadap jin Ummu Sibyan perlu diperbetulkan semula. Ia bukanlah sepertimana kepercayaan masyarakat kita tentang jenis-jenis jin seperti jin hantu raya yang menghisap darah, toyol yang mencuri duit, hantu penanggal yang mengganggu wanita hamil, pocong atau lain-lain lagi.
Begitu juga, tafsiran yang tepat tentang jin Ummu Sibyan bukanlah jin yang suka mengganggu anak kecil, tetapi ia bermaksud jin yang dipunyai oleh ibu atau bapa anak tersebut.
Disebabkan jin yang ada dalam tubuh ibu bapanya atau keturunannyalah (saka), maka anak-anak kecil ini sering diganggu hingga menangis tanpa henti
Katalah hadis ini dijadikan sandaran, namun masih ada ruang yang boleh diperdebatkan, antaranya bukankah sudah menjadi adat dalam kehidupan kita setiap bayi yang lahir pastinya diazankan atau diiqamahkan. Oleh itu, sudah tentu isu tentang gangguan jin Ummu Sibyan terhadap anak kecil tidak akan berlaku.
Sejujurnya jika jin saka yang mengganggu itu munasabah. Namun lazimnya ia menjadi sukar untuk dirawat kerana ibu bapa yang punya anak menangis tanpa henti pasti bersangka anak mereka yang diganggu atau berpenyakit. Itu menyebabkan perawat lebih menumpukan rawatan terhadap si anak.
Sedang hakikatnya, ibu bapalah punca mengapa anak-anak mereka menangis tanpa henti. Dek kerana itu, yang harus diubati bukanlah si anak kecil, tetapi kedua-dua ibu bapanya. Itu pun setelah jin saka yang mendiami tubuh ibu bapa dipisahkan, barulah sembuh anak tersebut daripada gangguan.
Bersambung…