KUALA LUMPUR – Genap sedekad usia perkahwinan, penyanyi Azmi Saat mendedahkan pernah berdepan masalah kewangan hingga terpaksa bergolok-gadai barang kemas milik isterinya.

Menurut Azmi,33, yang juga vokalis kumpulan Caliph Buskers itu, dia menghargai kesanggupan isterinya, Nazirah Muhammad untuk merelakan gelang emasnya dipajakkan dek kerana kesempitan hidup.

““Pada awal perkahwinan iaitu dalam tempoh dua ke tiga tahun, isteri banyak bantu. Apatah lagi dia adalah penjawat awam dan mempunyai gaji tetap.

“Isteri juga pernah mengadaikan barangan kemas termasuk terpaksa menjual hantaran perkahwinan berupa gelang emas kerana kami nak buat duit pendahuluan pindah rumah sewa baharu.

“Jadi, apabila saya sudah ada sedikit duit, barulah saya belikan gelang baharu sebagai ganti dan berikan dia duit untuk tebus semula barangan kemas yang digadai,” katanya.

Azmi mendirikan rumah tangga dengan Nazirah yang juga cacat penglihatan pada 2011. Walaupun tidak sesempurna insan lain, Azmi dan isteri tetap bahagia dalam melayari bahtera perkahwinan mereka.

Malah, sama seperti pasangan lain, Azmi juga pernah membuat kejutan istimewa kepada isteri dengan menghadiahkan bunga dan barangan kemas.

VIDEO muzik Tulus sudah boleh ditonton di platform Youtube

“Isteri saya suka bunga, jadi saya belikan bunga. Saya pernah buat kejutan dengan belikan barang kemas.

“Ketika itu saya masih bekerja sebagai tukang urut dengan pendapatan mencecah RM1,000 sebulan. Jadi, adalah lebih duit sikit,”tuturnya.

Apa yang pasti, kekurangan yang dimiliki bersama pasangan tidak menjadikan mereka kufur nikmat sebaliknya diberikan kelebihan lain oleh Allah SWT.

“Walaupun dalam keadaan begini, saya tidak berasa ia satu kekurangan atau susah. Kalau diberi peluang nak pasangan normal atau macam saya, saya nak yang sama macam saya.

“Sebab kami saling memahami selain mengetahui kekuatan dan kekurangan masing-masing. Kalau kahwin dengan isteri normal, saya pasti tak dapat membantu dan menjaganya. Sebab dia kena buat semua sediri malah perlu menguruskan saya pula.

“Jadi, apabila dapat yang sama, kami buat bersama-sama. Dalam erti kata lain, susah dan senang kami bersama,” luahnya.

Justeru itu, Azmi mendedikasikan single Tulus yang dilancarkan pada November lalu buat sang isteri atas pengorbanannya yang tidak berbelah bahagi.

Tulus merupakan karya pertamanya yang dicipta sekitar 2008 yang memperlihatkan transisi berbeza dalam kerjaya nyanyiannya.

Menampilkan melodi dan lirik mengenai kisah perasaan terhadap orang dicintai iaitu isteri, Tulus disifatkan lagu yang cukup istimewa dengan dirinya. Malah, dekat di hati peminat setia Azmi.

Terbaharu, Universal Music Malaysia dan Valient Music selaku penerbit melancarkan video muzik rasmi lagu Tulus di saluran YouTube Universal Music Malaysia.