hadi awang
Tan Sri Abdul Hadi Awang.

MARANG – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya sesuai diadakan selepas banjir yang melanda di beberapa negeri surut dan kes penularan wabak COVID-19 reda.

Ahli Parlimen Marang itu yang ditanya mengenai desakan beberapa pemimpin UMNO supaya PRU-15 diadakan pada suku pertama 2020, beliau berkata, apa-apa pun biarlah dua musibah tersebut reda dahulu.

“Tengoklah (keadaan) COVID-19 ni, dengan banjir. Biar selesai (masalah peningkatan kes) dengan banjir dulu,” katanya.

Abdul Hadi berkata kepada pemberita di Marang hari seperti disarkan di laman Facebook miliknya.

Bagaimanapun Abdul Hadi berkata, sebarang keputusan perlu dibawa berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) terdahulu.

“Kita kena bincang dengan pihak berkenaan – KKM, (lihat) dengan suasana banjir yang tak menentu. Kita tak mahu membebankan rakyat,” katanya.

Apabila ditanya mengenai pembahagian kerusi antara parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN), Abdul Hadi berkata pihaknya memilih untuk menunggu tarikh pilihan raya diumumkan.

Bagaimanapun, Abdul Hadi tidak menolak bahawa Pas Terengganu akan berdepan dengan masalah untuk persediaan PRU-15 berikutan pendirian UMNO Terengganu yang pernah menyatakan keengganan untuk bekerjasama pada pilihan raya nanti.

“Masalah tu ada.. Tunggulah pilihan raya masih belum diumumkan lagi.

“Nanti dah umum pilihan raya kita agak bila-bila.. Perbincangan tu berlangsung, kerjasama tu bukan dengan UMNO saja, (ia) termasuk UMNO dan parti lain dalam PN,” katanya.

Mengenai sindiran Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan kerana situasi politik semasa, Abdul Hadi berkata:

“Kita nak perkukuhkan Perikatan Nasional (PN), bukan nak robohkan,” tegasnya ringkas.