
KUALA LUMPUR – Wajar atau tidak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ketika ini?
Bagi sebahagian pihak, mereka berhujah memberi contoh beberapa negara yang melaksanakan PRU dalam tempoh penularan COVID-19 dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti Singapura.
Namun ramai yang melihat PRU akan mengundang risiko sangat besar kepada keselamatan rakyat dan negara seperti mana PRN Sabah beberapa bulan lalu.

Justeru, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji kesesuaian mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) semasa pandemik COVID-19 akan dinilai Jawatankuasa Pengurusan Pandemik.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, jawatankuasa itu terdiri daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain berkaitan.

“Jawatankuasa ini akan membuat penilaian risiko dan mengemukakan syor kepada kerajaan sama ada sesuai atau sebaliknya untuk mengadakan PRU,” menurutnya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama hari ini.
Pada Rabu lepas, Abdul Ghani dilaporkan berkata PRU-15 boleh dilaksanakan sekiranya semua pihak berganding bahu memberi kerjasama mematuhi normal baharu dan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 walaupun negara masih bergelut dengan pandemik itu.
Katanya SPR bekerjasama dengan KKM, MKN, NADMA dan PDRM untuk pelaksanaan kawalan selaras dengan arahan terkini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 akan dilaksanakan dengan ketat dalam semua proses pilihan raya.