Tular di media sosial kisah penjaja jalanan disaman dalam operasi di Taiping semalam./ Gambar media sosial

TAIPING – Satu pemandangan lazim ketika ini jika terdapat penjaja jalanan menjual dagangan mereka di kawasan lampu isyarat bandar-bandar utama di seluruh negara.

Ramai pengguna jalan raya yang kagum dengan kesungguhan mereka berpanas dan berhujan bagi mencari rezeki halal.

Namun dalam tak sedar, tindakan penjaja jalanan di persimpangan ini sebenarnya adalah bertentangan undang-undang lalu-lintas.

Sehubungan itu, polis Taiping menyaman empat penjaja jalanan yang berniaga di kawasan lampu isyarat, di sini, Selasa lalu kerana perbuatan itu mendatangkan bahaya.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, perbuatan berniaga di lampu isyarat adalah perkara mendatangkan bahaya kepada penjual dan pengguna lalu lintas.

Menurutnya, pihaknya melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Taiping menjalankan Ops Penjaja Jalanan di sekitar Taiping pada Selasa lalu.

“Hasil operasi, polis mengeluarkan empat saman ke atas empat penjaja yang menjalankan perniagaan di kawasan lampu isyarat.

“Kesemua penjaja itu disaman kerana melakukan kesalahan 10 A (1) Jual Barangan/Risalah/Loteri.

Tular di media sosial kisah penjaja jalanan disaman dalam operasi di Taiping semalam./ Gambar media sosial

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menjalankan perniagaan di kawasan ini dan boleh berniaga di tepi jalan yang lapang kerana lebih selamat dengan menggunakan kanopi,” katanya dihubungi media.

Terdahulu tular di laman sosial polis mengambil tindakan dan mengeluarkan saman ke atas beberapa peniaga yang menjalankan perniagaan di lampu isyarat di beberapa di Taiping.