KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,451 kes kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini dengan lima daripadanya merupakan penularan dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 564 kes atau 23 peratus.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Menurut beliau, daripada jumlah ini, sebanyak 342 kes di Selangor adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Katanya, kes baru kedua dan ketiga tertinggi hari ini adalah Sabah sebanyak 409 kes (16.7 peratus) dan Negeri Sembilan sebanyak 351 kes (14.3 peratus).

“Jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kini mencecah sebanyak 133,559 kes manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 26,185 kes.

“Bagi kes penularan di dalam negara, 1,858 kes adalah warganegara Malaysia dan 588 kes adalah bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Sehingga kini, kata Noor Hisham, terdapat 177 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 82 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan lima kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 542 kes (0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Tiga daripada kes kematian akibat COVID-19 hari ini dilaporkan di Johor manakala masing-masing satu di Putrajaya dan Selangor,” ujarnya.

Tambah Noor Hisham, sebanyak 327 kes atau 13.3 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara.

“Ia membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (291 kes), Kluster Telok Mas (17 kes), Kluster Tembok Gajah (9 kes), Kluster Damai Pelangi (8 kes), Kluster Pagar Siput (1 kes), dan Kluster Tembok Choh (1 kes),” jelasnya.

Dalam pada itu, kata beliau, sebanyak 58 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

Katanya, kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (291kes), Kluster Beringin (226 kes), dan Kluster Jalan Perindustrian (115 kes).

“KKM juga ingin memaklumkan terdapat lima kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu di Terengganu, Melaka, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor,” katanya.