KUALA LUMPUR – Ketika Datuk Ahmad Jazlan Yaakub meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 4 Januari lalu, ramai sudah menjangkakan Ahli Parlimen Machang daripada UMNO itu akan menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Hari ini ia menjadi kenyataan apabila Ahmad Jazlan mengumumkan penarikan sokongan tersebut tetapi menegaskan, PN masih lagi kerajaan memandangkan mempunyai sokongan 110 ahli Parlimen sedangkan pembangkang mempunyai 108 ahli Parlimen.

‘’Saya sedar dan sekali lagi saya sebut apa yang saya buat ini tidak menggugat kedudukan kerajaan, tak runtuh kerajaan dan takkan ada PRU kerana PN masih ada majoriti, cuma berkurang sahaja,’’ kata pada sidang akhbar di Kota Bharu.

Ahmad Jazlan juga menegaskan, beliau bukanlah orang pertama berbuat demikian kerana ia sudah dilakukan oleh Ahli Parlimen Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagaimanapun tindakan Ahmad Jazlan itu dijangka tidak akan menjejaskan kedudukan Kerajaan PN walaupun mempunyai kelebihan dua ahli Parlimen sahaja. Selain itu, dalam keadaan pandemik Covid-19 masih serius, pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya akan memburukkan lagi keadaan.