PADANG TERAP – Memang UMNO memutuskan meminta diadakan pilihan raya umum (PRU) dalam masa terdekat tetapi pada masa sama menyatakan dengan jelas ia tertakluk kepada keadaan COVID-19.

Sehubungan itu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, orang ramai perju jelas yang desakan UMNO masih tertakluk perkembangan pandemik tersebut.

Ini seperti mana kenyataan media yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Rabu lalu.

“Memang MT UMNO yang terbaru minta diadakan PRU tetapi ayatnya tertakluk kepada keadaan COVID-19.

Mesyuarat MT UMNO 6 Januari lalu

“Saya ingat semua faham suasana sekarang masih ada COVID-19. Kalau COVID-19 masih tinggi, kita tak minta juga untuk diadakan PRU.

“Dalam masa sama, ada penduduk di sesetengah negeri sedang hadapi bencana banjir, jadi kita tunggu keadaan reda dulu,” katanya ketika ditemui selepas program sumbangan pakaian sekolah oleh Yayasan Kemiskinan Darul Aman (YAKED) di Kuala Nerang hari ini.

Mahdzir Khalid menyampaikan sumbangan pakaian sekolah oleh Yayasan Kemiskinan Darul Aman (YAKED) di Kuala Nerang

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mendesak PRU-15 diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Bagaimanapun bagi Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, bukan hanya akar umbi UMNO, sebaliknya seluruh rakyat negara ini menolak desakan PRU-15 diadakan dalam masa terdekat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, tindakan segelintir pemimpin UMNO yang mahukan PRU-15 diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun ini adalah pendirian yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Mahdzir meminta pemimpin UMNO tidak mengeluarkan kenyataan menghentam satu sama lain secara terbuka di media, sebaliknya menggunakan kaedah lain lebih elok.

Beliau berkata, perbuatan yang kini banyak berlaku dalam kalangan pemimpin tertinggi parti, selain menteri dari UMNO dan bekas pimpinan tertinggi parti disifatkan tidak sesuai.

Bagaimanapun, beliau menganggap tindakan pemimpin berkaitan mengeluarkan kenyataan sedemikian terutama melalui media sebagai perbuatan yang tidak salah.

“Ada medan yang boleh keluarkan kenyataan, tetapi kalau dah seronok pakai media ini apa salahnya, gunakan sajalah,” ujarnya.