MINGGU lepas UtusanTV telah mengimbau nostalgia ruangan Kembang Sa-Taman yang disiarkan oleh majalah URTV, keluaran Februari 1970. Bagi generasi zaman tersebut, ia adalah ruangan paling popular untuk mencari kenalan. Maklumlah, pada zaman itu tiada media sosial seperti Facebook. Kebanyakan rumah pun tidak mempunyai telefon.
Pelbagai kisah menarik telah dikongsi pembaca. Ada yang mendapat kekasih, adik angkat, lelaki yang hobinya bercinta dan apabila mendapat surat, rasa hendak hendak dipeluk-peluk saja abang posmen itu.
Tetapi yang paling lucu adalah cerita di bawah ini, daripada seorang pembaca UtusanTV yang menggunakan akaun Dzareena Subhy. Cerita Dzareena berbunyi begini:
“Bapa saudara kita waktu itu komando dan kenal dengan isteri dia orang Kedah daripada URTV inilah. Gambar pula hitam putih, jadi dah bercinta dalam surat memang tidak tahulah isterinya ini kulit gelap sedikit. Tetapi mak cik lawa, orang mummy Penang. Pak cik pula jenis kulit cerah.
“Pertama kali datang sana terus bawa rombongan dan cincin, terus hendak bernikah. Maklumlah jauh, zaman itu susah hendak datang banyak kali. (Tetapi sampai di sana) Uncle buat perangai tak mahu bernikah sebab ingatkan makwenya itu putih. Memang kena jegil mata. Arwah abah cakap jangan nak bagi malu keluarga.
“Arwah abah kak seorang Guru Besar yang memang adik-adik dia pun semua takut, sebab arwah abah tolong dan tanggung adik-beradik dia. Kalau bab kahwin sampai adik bongsu yang kelima pun, majlis pun berjalan dengan jayanya. Itulah jodoh daripada URTV, (sekarang) ada anak tiga semua bercucu banyak dah.”
Lucu ada, seronok pun ada apabila membaca perkongsian cerita Dzareena Subhy itu. Apa pun, tahniah kepada bapa saudara beliau dan isterinya (anak mummy Penang), yang kini bahagia bersama anak-anak dan cucu-cucu mereka.
Begitulah, cantik itu bukan letaknya pada rupa dan warna kulit, tetapi pada hati. Jodoh pula ketentuan Ilahi. Jika sudah ditetapkan akan bersama, walaupun jauh pasti akan bersatu jua.
Hari ini UtusanTV siarkan pula ruangan Kembang Sa-Taman di URTV, keluaran Mac 1970. Cuba tengok betul-betul gadis dan jejaka bertuah yang disiarkan gambarnya di ruangan ini. Anda kenal mereka?
Kalau kenal, kami alu-alukan anda berkongsi cerita. Jika ada gambar terbaru, lagi bagus. Pasti ramai yang ingin membaca cerita dari sahabat-sahabat Kembang Sa-Taman Februari 1970 itu.
Atau, anda juga pernah menyertai ruangan tersebut pada tahun-tahun berikutnya? Jika ya, tentu anda juga mempunyai cerita menarik untuk dikongsi. Jangan malu, jangan takut, kongsikan dengan kami.
Bagaimana caranya? Mudah sahaja. Tulis cerita dan kongsikan gambar tersebut di ruangan komen Facebook Utusan TV.
Okey, kami tunggu cerita anda pula.