Jalan berlubang atau rosak, WhatsApp saja DBKL

0
85
Warga kota boleh hubungi DBKL menerusi WhatsApp Aduan Jalan Berlubang./ Gambar FB DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan talian aduan melalui aplikasi WhatsApp dikenali sebagai ‘Aduan Potholes DBKL’ bagi kemudahan orang ramai membuat aduan atau menyalurkan maklumat berkaitan kerosakan jalan raya di ibu kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah berkata aplikasi yang dilancarkan pada 7 Januari lepas itu membantu DBKL untuk segera membaiki sebarang jalan raya rosak atau berlubang berdasarkan maklumat orang ramai bagi memastikan ibu negara bebas daripada jalan berlubang.

“Aduan Potholes DBKL ini diwujudkan demi keselamatan pengguna jalan raya berikutan banyak kes kemalangan dilaporkan berlaku sejak beberapa minggu ini berpunca daripada terdapatnya jalan berlubang di atas jalan raya.

“Kami telah menerima sebanyak 271 aduan melalui platform ini sejak 8 Januari lepas,” katanya kepada Bernama.

Beliau menasihati pengguna yang memilih menggunakan saluran ‘Aduan Potholes DBKL – 011 62396652 https://wa.link/jobdg3’ itu agar menyatakan lokasi tepat jalan rosak bagi membolehkan tindakan segera diambil.

“Kami akan menghantar pasukan baik pulih dengan kadar segera jika maklumat disalurkan adalah tepat dan penilaian juga dapat dikenal pasti sama ada di bawah DBKL atau konsesi.

“Bagi jalan berlubang yang saiznya kurang daripada satu meter persegi, tindakan akan diambil dalam tempoh 24 jam daripada aduan diterima,” katanya.

Selain aplikasi tersebut, DBKL juga mempunyai pelbagai saluran bagi orang awam memanjangkan aduan berkaitan jalan berlubang, antaranya melalui laman web aduan ISPAAA, Hotline DBKL (pusat panggilan), Biro Pengaduan Awam, Aplikasi i-Tegur (KPKT), e-mel, telefon, bersurat selain aduan bersemuka melalui Pejabat-Cawangan DBKL.

Katanya, sejumlah 11,979 kerosakan jalan direkodkan termasuk jalan berlubang sepanjang tahun 2020 dengan keseluruhannya telah diambil tindakan pembaikan oleh DBKL.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 7,735 kes dikesan melalui rondaan proaktif DBKL sendiri manakala 4,244 lagi adalah melalui aduan awam,” katanya.

Mahadi berkata terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan masalah jalan berlubang antaranya projek pembangunan, korekan utiliti dan kegagalan struktur reka bentuk jalan disebabkan pertambahan jumlah trafik.