AWIE

KUALA LUMPUR – Penyanyi yang kini bergelar penerbit, Datuk Awie enggan melayan komen daripada pengkritik filem yang tidak bertauliah.

Menurut Awie,52, ketika ini ramai pengkritik filem yang tidak mempunyai latar belakang dalam industri kreatif cuba untuk mengaut keuntungan peribadi di Youtube.

“Sekarang ini kita ada ramai pengkritik filem dalam kalangan Youtuber yang kononnya nak buat reviu tetapi pengetahuan tentang perfileman pun langsung tiada!

ARTIKEL BERKAITAN: Sinopsis dan trailer filem 10 Tips Tipu Bini

“Buat filem pun tak pernah, apa lagi menulis skrip. Tapi cara mereka membuat ulasan dan mengkritik filem itu macam dah buat 100 filem.

“Perlu ke kita beri perhatian pada komen-komen mereka? Pandangan saya, kita tak perlu layan,” katanya.

AWIE selar pengkritik filem dalam kalangan Youtuber ‘tin kosong’

Tambah vokalis kumpulan Wing itu lagi, dia berharap penonton tidak mudah terpengaruh dengan Youtuber yang gemar melontarkan kritikan negatif mengenai sesebuah filem.

“Mereka buat demikian hanya kerana mahu mengaut keuntungan. Bila ramai yang tonton di Youtube, dia akan dapat duit berdasarkan jumlah tontonan video tersebut.

“Mereka ini cuba menjahanamkan industri seni kreatif dan semangat pembuat filem seperti kami. Saya tak halang mereka melanggan filem 10 Tips Tipu Bini dan memberi komen, tetapi kita janganlah melayan.

“Asalkan dia tidak melibatkan nama ibu bapa saya, isteri dan orang yang terdekat dengan saya. Jangan buat ulasan berbaur penghinaan,” tegasnya.

Menerusi syarikat poduksi miliknya iaitu Rumah Produksi Merah, Awie menerbitkan filem pertama berjudul 10 Tips Tipu Bini yang sudah mula ditayangkan di Astro First mulai 7 Januari lalu.

Filem arahan Azizi ‘Chunk’ Adnan ini menampilkan pelakon terkenal antaranya Awie, Khir Rahman, Ropie, Joey Daud, Vica, Jehan Miskin dan ramai lagi.

TONTON VIDEO PILIHAN: