ANALISIS
PENULIS tidak faham kenapa Ahmad Maslan dilihat mahu memperkecilkan pandangan seorang pemarut kelapa yang tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan memandangkan pandemik Covid-19 masih menular.
Kata Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu, kalau stesen televisyen tersebut meminta pandangan mereka yang berkelulusan daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA) atau memiliki Ijazah Kedoktoran, kelompok itu boleh mengulas dengan tepat kenapa PRU-15 perlu diadakan segera.
‘’Rasanya yang parut kelapa tadi itu, dia tidak perasan, yang ditemubual sebagai suara akar umbi (rakyat) , itu tak tahulah hanya lepasan sekolah tinggi kot,’’ Kata Ahmad dalam seperti dilaporkan oleh Malaysiakini.
Ahmad membuat ulasan itu dalam program Wacana Ilmu anjuran UMNO Bahagian Tanjung Malim yang disiarkan secara maya di Facebook UMNO Online.
Penulis tidak pertikaikan hujah Ahmad mempertahankan desakan supaya PRU-15 diadakan secepat mungkin.
Maklumlah sebagai seorang memiliki tiga ijazah termasuk salah satunya dalam bidang ekonomi dan sains politik Rosehill College, Auckland, New Zealand, Ahmad tentulah bijak memberi pandangan dan hujah tetapi tidak perlulah dilihat memperkecilkan mereka yang tiada kelulusan tinggi.
Pemarut kelapa itu bercakap sebagai seorang rakyat, dia tidak tahu soal politik. Apa yang dia tahu secara logik akalnya, ketika ini pandemik Covid-19 sedang ‘menggila’ jadi tidak perlulah buat PRU-15 lagi, tetapi Ahmad tidak boleh terima pandangan tersebut, mungkin kerana tidak selari dengan kehendaknya.
Semalam, Ahli Parlimen Khairy Jamaluddin menyifatkan desakan beberapa pemimpin UMNO yang mahu PRU-15 diadakan sebagai pendirian tidak bertanggungjawab. Beliau juga menegaskan, hujah bahawa Singapura, New Zealand dan beberapa lain mengadakan pilihan raya adalah tidak wajar.
Khairy yang berkelulusan daripada Universiti Oxford, United Kingdom (walaupun tidak ada PhD) turut menolak PRU-15 . Semalam juga, Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkelulusan daripada Universiti Al-Azhar, Mesir turut menganggap pilihan raya itu belum sesuai diadakan kerana banjir dan pandemik Covid.
Sebagai seorang yang memegang dua jawatan Setiausaha Agung, Ahmad pasti membaca komen-komen daripada pakar perubatan yang sebahagian besar daripada berkelulusan PhD menolak PRU diadakan. Maknanya, walaupun mungkin tidak mempunyai kelulusan tinggi, si pemarut kelapa itu jauh lebih bijak daripada segelintir pemimpin UMNO yang mahukan PRU.
Sebenarnya tidak perlulah kita mengaitkan kelulusan seseorang dengan pandangan mereka. Masing-masing ada pandangan sendiri, kalau ada perbezaan hormatilah. Tidak payahlah mahu memperkatakan taraf pendidikan seseorang.
Penulis percaya jutaan lagi rakyat Malaysia tidak kira apapun taraf pendidikan mereka menyokong kenyataan si pemarut kelapa. Mereka sudah muak dengan politik tidak berkesudahan termasuk yang dicetuskan oleh segelintir pemimpin UMNO (bukan semua) dan kini ketika rakyat tengah susah UMNO desak pula PRU-15.
Alasannya kerajaan tidak stabil kerana mempunyai majoriti tipis. Soal stabil tak stabil ini bergantung kepada ahli politik seperti Ahmad bukannya rakyat. Kalaupun sesuatu kerajaan itu ada hanya kelebihan satu undi tetapi jika semua ahli politik tidak kira pembangkang mahupun kerajaan memberi sokongan demi rakyat dan negara sudah pastilah kerajaan akan stabil. Masalahnya masing-masing ada agenda politik sendiri.
Apapun penulis berharap, Ahmad berhati-hatilah bercakap. Mungkin beliau tidak bermaksud untuk memperlekehkan si pemarut kelapa tetapi orang akan melihat dari sudut itu.
Lagipun si pemarut kelapa bercakap ikhlas berdasarkan apa yang dia tengok bukannya macam ahli politik, belum tentu yang keluar di mulut, sama di hati, sebab itu politik negara ini huru-hara.