Nama Yuri Gagarin dicatatkan dalam sejarah menjadi angkasawan pertama sampai ke angkasa lepas pada 12 April 1961. Namun, sebelum manusia berhasil  menerobos atmosfera bumi, ada makhluk lain yang terlebih dahulu dihantar ke ruang angkasa.

Dahulu, pengetahuan tentang angkasa lepas amat terbatas. Para saintis tidak berani untuk terus menghantar manusia ke angkasa lepas.

Saintis melakukan pelbagai kajian terhadap kesan biologi sepanjang perjalanan ke angkasa lepas. Lalu haiwan dipersiapkan sebagai misi penghantaran ke angkasa. Haiwan ini akan dibius dan diimplan dengan alat pengesan untuk mengukur tanda-tanda penting sepanjang perjalanan meninggalkan bumi.

Yurin Gagarin, manusia pertama yang sampai ke angkasa lepas.

Projek menjadikan haiwan sebagai angkasawan telah dimulakan pada 20 Februari 1947. Astronot haiwan pertama yang diterbangkan ke angkasa adalah lalat buah (fruit fly).

Lalat ini telah dimasukkan ke dalam sebuah roket V2 dan dilepaskan ke luar angkasa. Selepas terbang sejauh 109 kilometer dari permukaan bumi, kapsul berkenaan selamat kembali ke bumi. Didapati lalat itu masih hidup dan tidak mengalami kesan radiasi.

Pada 11 Jun 1949, Amerika Syarikat menghantar seekor monyet bernama Albert dari spesies rhesus ke angkasa.  Tetapi projek ini gagal. Kemudian pada 28 Mei 1959, monyet bernama Able dan Baker diterbangkan ke angkasa lepas.

Baker, monyet pertama yang diterbangkan ke angkasa.

Keduanya berjaya terbang pada ketinggian 579 km dan kembali ke bumi dengan selamat. Ini adalah rekod pertama melibatkan astronot monyet yang bertahan hidup sepanjang penerbangan melepasi lapisan atmosfera bumi tanpa menjejaskan sistem biologi.

Selepas kejayaan itu, tikus pula menjadi pilihan para saintis. Mamalia dari spesies Muridae ini dimasukkan ke dalam kapsul V2, kemudian dilepaskan pada 31 Ogos 1950. Eksperimen ini tidak berjaya kerana haiwan berkenaan ditemui mati selepas kapsul yang dinaiki mengalami kegagalan payung terjun semasa dalam perjalanan pulang semula ke bumi.

Beberapa bulan sebelum Yuri Gagarin berlepas ke angkasa, seekor tikus bernama Hector telah pun diterbangkan terlebih dahulu pada Februari 1961. Penghantaran Hector ke luar angkasa ini merupakan projek ilmuwan Perancis. Menakjubkan, Hector berjaya melepasi ketinggian 93 kilometer dan dapat kembali ke bumi dengan selamat.

Besar peranan haiwan dalam membantu manusia mengetahui perjalanan ke angkasa lepas. Kejayaan Hector dan beberapa spesies haiwan lain yang pernah dihantar ke angkasa telah menambahkan keyakinan para saintis untuk melepaskan manusia ke orbit.

Pada 22 Julai 1951, Kesatuan Soviet melancarkan kapsul R-1 IIIA-1 dengan membawa bersama sepasang anjing betina bernama Tsygan dan Dezik ke angkasa lepas. Kedua-duanya menjadi anjing pertama yang mampu bertahan hidup di luar angkasa. Dezik bagaimanapun mati ketika terlibat dalam misi penerbangan berikutnya.

Kesatuan Soviet menghantar pula mamut pertama ke orbit. Ia diterbangkan dengan pesawat Sputnik 9 Soviet pada 9 Mac 1961, bersama beberapa bahan kajian lain. Haiwan berkenaan juga berjaya kembali ke bumi dengan selamat.

Pada Oktober 1963, Perancis pula menghantar seekor kucing pertama ke angkasa lepas. Kucing liar yang ditemui di jalanan itu diberi nama Felix dan diletakkan dalam sebuah roket AGI Veronique. Misi ini berjaya.

Pelbagai haiwan lain terus digunakan untuk eksperiment ke angkasa. Tanggal 15 September 1968, Kesatuan Soviet meluncurkan kapsul Zond 5 dengan muatan biologi termasuk dua ekor kura-kura. Selepas mengorbit bulan, kapsul bersama muatannya selamat kembali ke bumi. Kura-kura itu mengalami sedikit penurunan berat badan. Nasib haiwan itu bertuah kerana tidak mati terbakar saat meluncur ke angkasa lepas.

NASA kemudian mengirimkan dua ekor katak ke angkasa untuk program ‘Orbiting Frog Otolith’ pada tahun 1970. Percubaan ini mencipta kejayaan apabila pengkaji dapat mengumpulkan data-data penting tentang neurofisologi. Sayang sekali, kapsul tersebut tidak dapat ditemui selepas mendarat ke bumi.

Jika sebelum ini hanya haiwan darat yang diterbangkan ke angkasa, saintis kemudian mencuba dengan haiwan air pula.

Ikan pertama dari spesies mummichog dipersiapkan untuk dilepaskan ke ruang angkasa. Spesies hidupan air ini sering digunakan oleh pengkaji dalam makmal eksperimen kerana ikan tersebut dikatakan memiliki kemampuan untuk bertahan hidup pada kondisi ekstrem. Ternyata, ketika menyertai misi Skylab 3 pada tahun 1973, ikan ini didapati masih hidup selepas mendarat semula di bumi.

Ini adalah sebahagian spesies haiwan yang menjadi permulaan kepada penerokaan manusia ke angkasa lepas. Berkat haiwan-haiwan ini, ilmu saintis berkembang dan akhirnya manusia berjaya sampai ke ruang angkasa.