JOHOR BAHRU – Prosedur standard operasi (SOP) lebih ketat termasuk mengehadkan rentas daerah dan negeri susulan peningkatan penularan wabak Covid-19.

Perkara itu antara permintaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada kerajaan setelah meniliti data-data secara keseluruhan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Memetik laporan portal Harian Metro, beliau berkata, peningkatan mendadak penularan wabak Covid-19 kebelakangan ini membabitkan kes rentas daerah dan negeri.

“KKM dapati faktor utama kes meningkat mendadak adalah ketidakpatuhan kepada SOP yang sudah digariskan ketika pembukaan semula sektor ekonomi, tempoh hari.

“Kes meningkat di kawasan padat penduduk dengan pergerakan yang mudah termasuk di Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Pulau Pinang dan Sabah.

Pemeriksaan kepatuhan SOP dijalankan pihak berkuasa. / Gambar FB PDRM

“Kini kes jangkitan sporadik dalam komuniti dan warga asing meningkat ke paras yang sama. Ia berlaku apabila rentas daerah dan negeri dibenarkan selain acara sosial himpunan ramai, ” katanya selepas majlis penyerahan projek naik taraf Pusat Pengumpulan Darah Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas pada Isnin mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan memandang serius dan sentiasa memantau situasi semasa trend peningkatan jangkitan mencatatkan empat angka bermula penghujung November 2020, sehingga rekod tertinggi kes harian Covid-19 dicatatkan dengan 3,027 kes baharu.

Dr Adham berkata, KKM kini sedang melihat semula keupayaan sebenar di hospital digazetkan sebagai Hospital Covid-19 bagi menempatkan pesakit yang bergejala.

Katanya, KKM juga akan mengaktifkan semula lebih banyak pusat rawatan dan kuarantin kepada pesakit berisiko rendah di seluruh negara.

“Antara contoh pembukaan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) yang mampu menempatkan sehingga 10,000 pesakit positif. Kita mendapati kes membabitkan pesakit Covid-19 menggunakan ventilator dan katil (Unit Rawatan Rapi (ICU) juga meningkat.

“Kita sudah pun bersedia ketika gelombang kedua Covid-19 sebelum ini dengan meningkatkan keupayaan melihat kepada keadaan semasa berikutan peningkatan mendadak kes harian,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini fasiliti KKM masih mampu menampung peningkatan kes namun kaedah ketat dalam melandaikan lengkuk Covid-19 perlu dilaksanakan segera sebelum keupayaan berkenaan tidak lagi mampu disediakan.

“Barisan hadapan kita, doktor pakar, pakar mengendalikan mesin ventilator dan pakar perubatan yang kendalikan kes Covid-19 bergejala tahap tiga hingga lima kini sedang bertungkus-lumus hadapi peningkatan mendadak kes.

“Kita perlu lihat pasukan jururawat dan pembantu perubatan yang membantu serta keupayaan mereka merawat pesakit termasuk bukan Covid-19 yang juga perlu diberi perhatian,” katanya.