KUALA LUMPUR – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membayangkan kerajaan tidak mungkin akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti sebelum ini.
Katanya, kerajaan akan melihat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih terperinci dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Isnin ini.
“Saya percaya tidak mungkin kita (kerajaan) laksanakan total lockdown seperti PKP sebelum ini. kita ada lagi mesyuarat MKN Isnin ini untuk melihat SOP lebih terperinci. Apa-apa keputusan kerajaan buat adalah yang terbaik untuk rakyat, tidak usah panik,’’ katanya ketika melawat mangsa banjir di Bera.
Semalam, Ismail Sabri berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas pada Isnin mengenai tindakan yang dilaksanakan berikutan trend peningkatan jangkitan Covid-19 sejak kebelakangan ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri menasihati supaya tidak mempercayai berita palsu mahupun pelbagai andaian tidak benar berhubung keputusan yang akan diumumkan kelak.
“Tidak perlu hendak pembelian panik, yang tular semua palsu, tunggu dulu pengumuman daripada kerajaan. Apapun keputusan, kerajaan tidak terus buat serta-merta, mesti akan beri ruang (persediaan) dalam tempoh dua, tiga hari dan sebagainya,” katanya.