KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,433 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini dan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 135,992 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 yang sedang dirawat di seluruh negara ketika pula adalah 27,332 kes.
Menurut beliau, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat tujuh kes import dan bagi kes penularan di dalam negara, 1,784 kes adalah warganegara Malaysia manakala 642 kes adalah bukan warganegara.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 730 kes (30.0 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 510 kes (69.9 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 403 kes (16.6 peratus) dan Johor sebanyak 321 kes (13.2 peratus),” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Menurut Noor Hisham, sehingga kini, terdapat 171 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 76 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Tambah beliau, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan sembilan kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 551 kes (0.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
“Lima dari kematian dilaporkan di Selangor manakala tiga lagi di Kuala Lumpur dan satu lagi dilaporkan di Sabah.
“Pesakit tertua yang meninggal dunia akibat COVID-19 berusia 94 tahun manakala termuda berumur 37 tahun dan individu berkenaan mempunyai masalah buah pinggang kronik. Kedua-dua kes dilaporkan di Kuala Lumpur,” jelasnya.

Kata Noor Hisham, sebanyak 65 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.
Jelas beliau, kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (79 kes), Kluster Rawa Akasia (73 kes), dan Kluster Beringin (65 kes).
“KKM juga ingin memaklumkan terdapat lima kluster baharu. Dua daripadanya di Lembah Klang, dua di Kelantan dan satu di Sabah,” ujarnya.