JAKARTA – Pasukan penyiasat Indonesia hari ini memaklumkan, mereka menemui bahagian tubuh manusia di luar pesisir Jakarta dipercayai berkait tragedi nahas pesawat Sriwijaya Air, semalam.
Ia adalah lokasi di mana pesawat tambang murah yang membawa 62 orang itu dilaporkan terhempas ke laut sejurus berlepas.
“Setakat pagi ini, kami telah menerima dua beg (mayat), satu berisi barangan milik penumpang dan satu lagi mengandungi bahagian tubuh,” kata jurucakap polis Jakarta, Yusri Yunus, kepada Metro TV.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa nahas pesawat Sriwijaya Air SJ182 bersambung pagi ini setelah lokasi insiden dikenal pasti.

Panglima Koarmada I, Laksamana Muda TNI Abdul Rasyid berkata, pihak berkuasa Indonesia telah menemukan titik koordinat lokasi Sriwijaya Air terhempas dan beberapa kapal Republik Indonesia (KRI) kini dikerah ke lokasi.
“Sudah ada empat hingga lima KRI yang mendekati lokasi kejadian,” kata Rasyid seperti dilapor media tempatan.
Selain KRI, turut dikerah pasukan elit Tentera Nasional Indonesia (TNI) dari Komando Pasukan Katak (Kopaska) dan Detasemen Jala Mangkara (Denjaka) bagi membantu operasi.