PENYANYI lagu Peluang Kedua, Nabila Razali akui dirinya masih belum pulih sepenuhnya akibat masalah peti suara yang dialaminya dan sedang dalam proses pemulihan.  

Nabila, 29, berkata dia berharap dirinya akan kembali sihat sepenuhnya agar dapat membuat persembahan yang terbaik di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) pada 7 Februari ini.

“Kalau ikutkan saranan doktor, saya kena berehat dalam tempoh yang lama. Sekarang ini saya dalam proses pemulihan dan masih mendapatkan rawatan susulan serta menjalani terapi.

“Saya harap kesihatan saya akan pulih sepenuhnya dan dapat buat persembahan terbaik di AJL35 nanti untuk peminat,” kata Nabila semasa sidang media AJL35 yang bersiaran secara atas talian di saluran Youtube TV3 pada petang Ahad.

Nabila Razali harap persembahan lagu Peluang Kedua di pentas AJL35 akan memberi impak kepada penonton

Bercerita tentang persembahan pada pentas AJL35, Nabila memberitahu dia akan melakukan yang terbaik dan memastikan ia akan memberi kesan kepada penonton nanti.

“Apabila saya menghasilkan sesuatu, saya dengan pasukan saya akan pastikan sesuatu yang kita hasilkan akan memberi impak.

“Saya akan pastikan persembahan lagu Peluang Kedua nanti akan dapat memberi impak kepada penonton dan pendengar nanti.

“Dengan adanya idea-idea bernas daripada pasukan saya, kami yakin akan dapat hasilkan sesuatu yang menarik dan berkualiti serta memberi impak kepada semua,” cerita Nabila.

Dalam pada itu, Nabila bersyukur impiannya untuk menjejakkan kaki ke pentas AJL bakal menjadi kenyataan dan dia mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat sehingga lagu itu berjaya ke pentas AJL35.

“Harapan saya untuk malam AJL35 nanti adalah saya dapat beri apa yang semua orang nantikan kepada lagu Peluang Kedua daripada Nabila Razali Sendiri..Insya Allah. Doakan yang baik-baik ya,” kata Nabila.

TONTON VIDEO PILIHAN: