KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan berjumlah RM150,000 untuk 1,000 murid sekolah rendah dan menengah di sekitar Titiwangsa, Ampang, Kampung Baru dan Dato Keramat sempena Program Kembali ke Sekolah (BTS) anjuran yayasan itu.
Batuan berkenaan sebagai keprihatin YBR dengan kekangan yang dihadapi oleh keluarga dan pelajar sekolah rendah dan menengah yang bakal memulakan persekolahan pada Januari 2021.
Pengerusi YBR, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, bantuan berupa set baju, kasut dan beg sekolah yang bernilai RM150 disumbangkan kepada setiap murid yang dikenal pasti dalam kalangan keluarga berpendapatan B40.
“Bantuan Back To School (BTS) yang diberikan ini juga membuktikan keprihatinan badan bukan berkeuntungan dalam menjalankan tanggungjawab bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat mengecapi limpahan ekonomi dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Nazir Hussin turut berkata, perlaksanaan bantuan ini adalah memberi peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan membuat persiapan anak-anak untuk kembali ke sekolah dan diharapkan bantuan ini dapat mengurangkan bebanan yang perlu ditanggung oleh keluarga bagi sesi persekolahan yang baru.
“Sumbangan yang diterima oleh pelajar-pelajar ini diharapkan dapat membantu mempertingkatkan minat mereka untuk hadir ke sekolah serta sebagai pembakar semangat untuk belajar bersungguh-sungguh bagi memperoleh keputusan cemerlang,” ujarnya.
Sementara itu, tambah kenyataan YBR, Bantuan BTS turut diinspirasikan melalui penerapan elemen pembelajaran menyeronokkan bagi memastikan pelajar-pelajar ini sentiasa gembira ke sekolah sekali gus dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmoni merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Program bantuan persekolahan anjuran YBR ini akan diagihkan ke 148 lokasi lain yang telah dikenalpasti kerana ia bukan sahaja dapat membantu keluarga serta murid-murid yang kurang bernasib baik dalam mendapatkan pendidikan yang terbaik, malah dapat membantu meningkatkan pencapaian pendidikan dalam negara supaya selaras dengan matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sehingga 2020, seramai 33,721 murid telah menerima manfaat melalui bantuan ini dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM3.87 juta.
Melalui bantuan yang disalurkan ini diharapkan agar dapat membantu ibu bapa dalam mengharungi saat-saat sukar ditambah pula dengan negara menghadapi gelombang ketiga pandemik Covid-19.