Kuala Lumpur – Ketika beberapa pemimpin politik begitu ghairah mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada suku pertama tahun ini, seorang pakar perubatan menyifatkan langkah itu tidak wajar akan memburukkan lagi penularan wabak Covid-19.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr.Zainal Ariffin Omar berkata, fokus utama kerajaan ketika ini seharusnya untuk mengurangkan kes jangkitan dalam komuniti, yang dilihat semakin membimbangkan.

Tegas beliau, PRU juga tidak wajar diadakan pada tahun ini walaupun program vaksinasi Covid-19 dikatakan akan dilaksanakan seawal Mac ini.

“Kita perlu betul-betul mengurangkan kes jangkitan dalam komuniti. Ini mungkin mengambil masa beberapa bulan lagi,” katanya seperti dilaporkan protal berita FMT.

Beliau yang juga bekas pengarah Kesihatan Negeri Pahang berkata, pengalaman selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah jelas menunjukkan risiko tercetusnya gelombang baharu wabak itu apabila berlaku pergerakan rentas negeri secara bebas ketika berkempen.

“Ahli politik diminta bersabar, kalau boleh usahakan cara lain selain pilihan raya. Tidak wajar adakan PRU dalam suku pertama tahun atau dalam tahun ini walaupun vaksin telah ada,” tegasnya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini menerima tekanan politik daripada UMNO yang mendesak supaya PRU-15 diadakan dalam suku pertama tahun ini apabila Covid-19 reda.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan mempertahankan usul UMNO agar pilihan raya diadakan.

‘’Jika boleh ke kedai,pasar raya, restoran beratut setiap hari, kenapa tak boleh cuma satu hari mengundi dengan SOP ketat,’’ kata Ahmad melalui ciapan di Twitter beliau.

Beliau juga berkata, pilihan raya itu boleh diadakan apabila banjir selesai dan vaksin dimulakan.