ELIZABETH Tan membintangi filem 10 Tips Tipu Bini

KUALA LUMPUR – Penyanyi yang kini aktif dalam bidang lakonan, Elizabeth Tan mengakui teruja apabila dilamar pihak Rumah Produksi Merah bagi membintangi filem 10 Tips Tipu Bini.

Jelas Elizabeth atau Lizzy, menerusi filem tersebut, penonton akan dapat menyaksikan dia menunggang motosikal berkuasa tinggi yang mana ia adalah pengalaman pertamanya melakonkan adegan tersebut.

Sungguhpun, dia bukanlah penggemar sukan permotoran, namun Lizzy menerima tawaran tersebut sebagai satu cabaran dalam dunia lakonan.

“Cerita ini sangat lawak, sesuailah dengan genre komedi yang dibawakan. Saya tidak berhadapan dengan cabaran yang rumit sepanjang berlakon dalam filem ini cuma bila berlakon dengan ramai pelawak, memang asyik gelak sahaja, jadi terpaksa ‘shoot’ semula.

“Cuma awalnya saya agak sedikit gementar nak naik motor besar. Lebih-lebih lagi saya perlu berada di atas motor selama dua jam, memang rasa kurang selesa tetapi ia satu pengalaman baharu untuk saya.

“Paling tak boleh dilupakan, ketika menjalani penggambaran di jambatan Pulau Pinang bersama geng motorsikal Harley Davidson. Kami tunggang motor beramai-ramai,” katanya kepada URTV.

ELIZABETH TAN

Selain Lizzy, filem ini turut dibintangi oleh Datuk Awie, Khir Rahman, Jehan Miskin, Ropie, Joey Daud, Vicha, Nasir Bilal Khan dan ramai lagi.

10 Tips Tipu Bini sudah mula ditayangkan di Astro First (saluran 480) dan boleh dilanggan pada harga RM15.

Sementara itu apabila berbicara soal karier seni, menurut Lizzy dia kini mengalihkan fokusnya kepada bidang lakonan buat sementara waktu.

Katanya, tawaran seni yang hadir ketika ini lebih ke arah lakonan berbanding nyanyian. Namun, dia tidak akan melupakan karier seni suara yang pernah melonjakkan namanya.

“Walaupun 2021 baru sahaja bermula, tapi syukur jadual seni saya sudah terisi dengan banyak tawaran antaranya membintangi sebuah drama bersiri dan beberapa projek lain.

“Buat masa ini saya beri keutamaan pada lakonan dulu. Memandangkan bila sudah berlakon, memang akan memakan masa yang agak lama jadi agak sukar untuk saya ‘mencuri’ masa bagi menghasilkan lagu baharu,” ujarnya.

Jom ikuti channel Telegram UtusanTV untuk tidak terlepas berita terkini dan sensasi