SITI Nurhaliza sambut ulang tahun ke-42

KUALA LUMPUR – Hari ini, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-42 tahun.

Tepat jam 12 tengah malam, media sosial dibanjiri dengan ucapan Selamat Hari Jadi dan kata-kata istimewa daripada peminat yang selama ini menjadi tulang belakang penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini.

Tidak ketinggalan, stesen-stesen radio turut sama memutarkan seleksi lagu popular Siti sepanjang harini bagi memberi penghormatan khas buat penyanyi kesayangan ramai ini.

Malah, menerusi hantaran di akaun Instagramnya, Siti turut mendoakan agar negara dilindungi Allah dan dijauhkan musibah yang lebih teruk.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat memberi bantuan, bekerja membantu mangsa banjir di semua negeri yang terlibat.

“Kita terus berdoa agar negara kita akan dilindungi Allah dan dijauhkan musibah yang lebih teruk lagi.

“Ini doa hari lahir saya. Semoga kita semua dipermudahkan dalam setiap cabaran yang Allah uji. Terus kuat!,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada Siti Aafiyah Khalid,3, ini turut menzahirkan penghargaan kepada pihak stesen radio yang memutarkan lagu-lagunya bermula pagi ini.

“Saya berterima kasih kepada stesen-stesen radio yang memutarkan lagu-lagu saya dengan slot khas bermula pagi ini.

“Jika tidak keberatan, saya mohon agar dapat diputarkan lagu Basyirah daripada album ManifestaSITI2020, lagu yang saya lancarkan sekitar enam bulan lalu di mana kita bertungkus-lumus menentang Covid-19.

“Serta penghargaan saya kepada barisan hadapan (frontliners) dan semua yang sedang berjuang tidak kira sesiapa sahaja. Semoga Basyirah atau khabar gembira akan mengiringi kita semua dan kita akan menang,” ujarnya

Jom ikuti channel Telegram UtusanTV untuk tidak terlepas berita terkini dan sensasi