Sekolah di negeri PKPB dan PKPP seperti dijadualkan

0
3960

KUALA LUMPUR – Sekolah dan institusi pendidikan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKP-P) akan beroperasi mengikut takwim.

Menurut kenyataan KPM, pihaknya akan sentiasa mengambil langkah-langkah perlu selaras dengan SOP seperti Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu.

Bagi sekolah di kawasan PKP, kata kenyataan itu, sesi persekolahan secara bersemuka hanya akan melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan.

Ini termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Vokasional Malaysa (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Kata KPM, murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan itu dibenarkan pulang ke asrama mulai 16 Januari ini.

“Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan murid merentas negeri atau daerah untuk pulang ke asrama.

“Sementara itu, semua murid sekolah rendah dan murid tingkatan satu hingga tingkatan empat di sekolah menengah di kawasan PKP akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari,” kata kenyataan itu.

Tambah KPM, pelajar Kolej Matrikulasi di kawasan PKP yang telah berada di kolej perlu kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Md Jidin akan mengadakan sidang akhbar esok bagi menjelaskan secara lebih terperinci mengenai SOP pengoperasi institusi pendidikan bawah KPM.

“Insya-Allah, esok saya akan mengadakan sidang media bagi membuat penjelasan lanjut tentang perkara berkaitan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk tidak terlepas berita terkini dan artikel menarik