KUALA LUMPUR – Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) yang sepatutnya berlangsung pada 7 Februari ini di Auditorium MBSA, Shah Alam, ditunda bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studio, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan sudah semestinya memberi kekangan dalam tugas-tugas persediaan AJL35.
“Ketika dalam sidang media AJL35, saya dan penerbit eksekutif, Huda sememangnya berharap agar PKP tidak dilaksanakan dan AJL35 boleh berlangsung seperti yang dijadualkan.
“Namun, Perdana Menteri telah menguatkuasakan PKP bermula esok sehingga 26 Januari ini. Tempoh 14 hari PKP ini tentunya akan mengekang tugas-tugas persediaan AJL 35, terutama kerja-kerja pembinaan pentas dan set lain.
“Hal ini kerana, kerja-kerja pembinaan tersebut memerlukan tenaga kerja yang ramai. Oleh itu, untuk kebaikan semua pihak, kami memutuskan untuk menunda AJL35 ke tarikh yang akan diberitahu kelak, sebaiknya setelah tempoh PKP ditamatkan secara rasmi,” katanya.
Tambah Khairul lagi, dia memohon maaf kepada semua yang terlibat dan berharap rakyat mematuhi PKP demi membendung penularan Covid-19.
“Kami memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat, mahupun secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan AJL35 ini. Kami berharap juga agar semua rakyat akan patuh PKP demi kebaikan dan keselamatan kita semua,” ujarnya lagi.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP ke atas enam negeri selama 14 hari berkuat kuasa tengah malam ini sehingga 26 Januari. Manakala enam negeri lagi dikenakan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan bagi dua buah negeri.