KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan akan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas wabak COVID-19 tamat dan diperakukan selamat untuk mengadakan proses pengundian.

Muhyiddin berkata, pada masa itu, terpulanglah kepada rakyat untuk memilih kerajaan mana yang layak untuk mentadbir negara dan menjaga kebajikan warga Malaysia.

Namun katanya, ketika ini menjadi kewajipan beliau sebagai ketua kerajaan untuk menjaga nyawa rakyat dengan melindungi semua dari bahaya COVID-19 dan ini juga kemaslahatan paling utama seperti dituntut agama.

“Justeru saya memberikan komitmen tegas sebaik sahaja jawatankuasa khas bebas memperakukan wabak telah tamat, reda dan pulih sepenuhnya dan PRU adalah selamat diadakan, ketika itu terpulanglah kepada saudara dan saudari untuk memilih kerajaan mana yang layak mentadbir negara dan menjaga kebajikan rakyat.

“Inilah komitmen dan akujanji saya yang akan saya tunaikan. Insya -Allah,” katanya dalam pengumuman khas berikutan proklamasi darirat sebentar tadi.

Muhyiddin dalam pengumuman itu memberi jaminan yang kerajaan awam terus berfungsi seperti biasa sama ada di peringkat Persekutuan mahu pun negeri.

Selain itu, tegas Perdana Menteri, proklamasi darurat ini juga bukan satu rampasan kuasa, bukan pemerintahan tentera dan tiada perintah berkurung.

Perdana Menteri juga memaklumkan badan kehakiman berfungsi seperti biasa dalam mengeakkan proses keadilan.

“Dari segi pentadbiran kerajaan, Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus berfungsi menurut Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong darisemasa ke semasa.

“Saya memberi jaminan bahawa jentera pentadbiran dan perkhidmatan awam Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak akan terganggu dengan perisytiharan darurat ini,” katanya.

Muhyiddin juga menyeru semua pihak supaya mengenepikan perbezaan dan bersolidariti bersama rakyat dalam menghadapi ancaman wabak ini seterusnya bersama-sama membendung pemnularan COVID-19.

“Bagi saya, dalam keadaan negara dan rakyat sedang menghadapi satu mudarat besar, adalah amat penting semua ahli politik mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersamarakyat.

“Bila tiba masa untuk berpolitik, maka berpolitiklah dengan penuh bertanggungjawab,” tegasnya.

Menurut Perdana Menteri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Tambah Muhyiddin, sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa, Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil juga tidak akan diadakan.

Menurut beliau, dalam keadaan biasa, Pilihan Raya Kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas kerusi diisytiharkan kosong, Pilihan Raya Negeri juga mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

“Sedangkan kita tahu, rakyat pada masa ini tidak mahu pilihan raya diadakan untuk mengelakkan wabak COVID-19 merebak seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini

“Untuk menjamin pelaksanaan tempoh darurat dibuat secara adil dan telus, sebuah Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan di bawah suatu Ordinan untuk menasihati Seri Paduka Baginda sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkan Proklamasi lebih awal dari tarikh yang ditetapkan,” jelasnya.

Untuk menjamin pelaksanaan tempoh darurat dibuat secara adil dan telus, kata Muhyiddin, sebuah Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan di bawah suatu Ordinan.

Katanya, ia untuk menasihati Seri Paduka Baginda sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkan Proklamasi lebih awal dari tarikh yang ditetapkan.