Amaran PM, jangan gugat usaha kerajaan atau berdepan tindakan tegas

Dari Penulis

KUALA LUMPUR – Amaran keras kerajaan, jangan ganggu gugat usaha urus pandemik COVID-19.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sesiapa yang cuba mengganggu gugat usaha Kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dan ekonomi negara akan diambil tindakan tegas demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

Muhyiddin juga merayu semua supaya kekal tenang dan memberikan kepercayaan serta sokongan sepenuhnya kepada kerajaan untuk membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.

“Saya juga menyeru kepada semua ahli politik, pemimpin masyarakat sivil, NGO, badan-badan agama, belia, mahasiswa dan setiap lapisan masyarakat supaya bersatu dan berganding bahu dalam menghadapi situasi yang amat sukar ini.

“Yang penting, matlamat kita hanyalah satu iaitu kita mesti menang dalam memerangi COVID-19,” katanya dalam pengumuman khas susulan proklamasi darurat hari ini.

Sementara itu, kata Muhyiddin, aktiviti-aktiviti ekonomi juga akan terus berfungsi tertakluk kepada SOP dan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa.

“Kerajaan akan memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat mampu untuk
terus bekerja dan perniagaan, perdagangan dan industri dapat terus beroperasi seperti biasa.

“Kerajaan juga komited untuk memastikan amalan-amalan governans terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat. Organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, serta Bursa Malaysia, akan terus memainkan peranan mereka sebagai
pemangkin, pengawal selia dan pemudahcara syarikat dan pasaran,” jelasnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga berharap agar para alim-ulama’ dan pemimpin agama dapat mendoakan kesejahteraan negara dan mudah-mudahan semua dilindungi daripada sebarang bala bencana.

“Saya bagi pihak Kerajaan sekali lagi menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas keprihatinan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenankan perisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi menangani pandemik COVID-19 dengan lebih berkesan.

“Saya berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Putera dan Puteri Tuanku, seluruh kerabat duli Tuanku dan sekalian rakyat jelata terus dilindungi oleh Allah SWT. Mudah-mudahan wabak COVID-19 yang sedang melanda negara kita segera berakhir. Amin, Amin Ya Rabbal Alamin,” ujarnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Pemasyhuran Tunku Nadzaruddin tidak sah, lepaskan sendiri jawatan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

ISTIADAT pemasyhuran Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 di sebuah hotel di Alor Gajah,...

More Articles Like This