Kuala Lumpur – Bencana banjir nampak beransur pulih apabila semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Terengganu serta Perak ditutup selepas semua mangsa banjir yang berlindung di pusat itu dibenarkan pulang ke rumah semalam.

Bernama melaporkan, keadaan di Pahang dan Kelantan pula menampakkan perkembangan yang positif apabila jumlah mangsa banjir di PPS di dua negeri itu mulai berkurangan.

Bagaimanapun di Johor, jumlah mangsa di 42 PPS di negeri itu terus meningkat, dengan Kluang menjadi daerah terbaru dilanda banjir.

Nasib mangsa banjir terus mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk Public Bank Bhd yang menawarkan pinjaman dan bantuan pembiayaan kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri.

Dalam kenyataan semalam, bank itu berkata bantuan itu termasuk penangguhan ansuran bulanan untuk pinjaman dan pembiayaan sehingga enam bulan berdasarkan permintaan pelanggan, serta kemudahan pinjaman dan pembiayaan seperti pembiayaan rumah, sewa beli dan kad kredit untuk setiap pelanggan, di samping pinjaman dan pembiayaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Public Bank turut mengecualikan caj penggantian dokumen berkaitan perbankan, seperti kad bank, buku bank, dan cek yang telah musnah atau hilang disebabkan banjir.

Selain itu, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) pula memberi jaminan kepada mangsa banjir yang memiliki perlindungan banjir bahawa ahli-ahlinya bersedia untuk mempercepatkan proses tuntutan dan bayaran kerugian yang disebabkan oleh bencana itu.

Mereka juga bersedia untuk mengetepikan borang tuntutan dan dokumen sokongan bagi memastikan tempoh pemprosesan yang lebih singkat.

Selain itu di Maran, Pahang, kontraktor kejuruteraan China Communications Construction Sdn Bhd, antara watak penting bagi projek Laluan Rel Pantai Timur pula telah menyediakan pengangkutan dan bekalan makanan kepada pusat bantuan banjir, di samping tenaga kerja serta pelbagai mesin seperti jentera pengorek bagi membantu usaha pembersihan bandar Maran.

Kerajaan Pahang semalam menerima sumbangan 18,000 kampit beras bernilai RM241,000 daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah bagi membantu mangsa banjir.
Untuk hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di Pahang, Sarawak, Johor dan Sabah.

Hujan lebat juga dijangka berlaku di Pahang melibatkan kawasan Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin, serta Johor di Segamat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.