ACHEY

KUALA LUMPUR – Sekian lama tertangguh, pelawak Achey kini dalam perancangan menceburi bidang perniagaan runcit sebagai initiatif mengukuhkan ekonomi keluarga.

Menurut Achey atau Mohd. Nasir Hamzah, tahun lalu dia pernah memberitahu kepada media yang dia mempunyai hasrat untuk membuka sebuah kedai aksesori motosikal.

Namun, niatnya itu terpaksa ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Sebelum ini saya ada cakap pada media yang saya nak buka kedai aksesori motosikal tetapi ia ‘terkandas’ sebab PKP dan terpaksa ditangguhkan.

“Lagipun, rasanya agak kurang sesuai untuk membuka perniagaan dalam bidang berkenaan pada waktu negara masih ‘diserang’ pandemik Covid-19,” katanya kepada URTV.

Achey ditemui pada acara pelancaran produk makanan ringan, Palut’s Superhero di Puncak Alam, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

ACHEY dilantik sebagai duta Palut’s Food bagi kudapan Nangka Sangrai Crispy

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Palut’s Food Sdn. Bhd, Ridzuan Ansar.

Justeru itu, Achey,34, berharap cadangan untuk membuka sebuah perniagaan kedai runcit dapat direalisasikan pada tahun ini.

“Insya-Allah saya memang dah lama nak buka kedai runcit seperti penyanyi Lan Solo yang mempunyai kedai Lan Solo Borneo Mart.

“Saya sudah melihat beberapa lokasi yang berpotensi untuk membuka kedai runcit tidak lama lagi. Tengoklah macam mana nanti, doakanlah semoga hasrat itu terlaksana,” katanya.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi