KUALA LUMPUR – Kedudukan dan tanggungjawab semua ahli Parlimen tetap sama seperti sedia kala, walaupun semua sesi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri digantung sepanjang tempoh darurat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pengisytiharan darurat tidak bermakna Parlimen dibubarkan.

“Semua aktiviti apa-apa kaukus atau kumpulan rentas parti Parlimen serta semua jawatankuasa pilihan khas yang ditubuhkan masih boleh diteruskan, kecuali aktiviti-aktiviti tersebut dikekang ordinan yang digubal Yang di-Pertuan Agong,’’ katany dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum penubuhan jawatankuasa bebas dianggotai ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang akan mengesyorkan tempoh darurat kepada Agong.

“Melalui jawatankuasa bebas tersebut serta jawatankuasa pilihan khas, Parlimen akan terus menjalankan fungsinya di dalam proses semak dan imbang, sebagai institusi unggul badan perundangan negara,” katanya sambil menjelaskan Parlimen akan menunggu Ordinan Darurat yang akan digubal oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk tidak terlepas berita terkini dan artikel menarik