2,985 kes baru, gadis 19 tahun antara 4 kematian akibat COVID-19

0
1359

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,985 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini yang juga hari pertama pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 yang pernah dikesan di negara ini berjumlah 144,518.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 yang sedang dirawat di seluruh negara ketika pula adalah 32,377 kes.

Menurut beliau, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import dan bagi kes penularan di dalam negara, kira-kira 70 peratus adalah warganegara Malaysia.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 837 kes (28 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 605 kes (72.3 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 535 kes (17.9 peratus) dan diikuti Sabah dengan 450 kes (15.1 peratus),” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Menurut Noor Hisham, sehingga kini, terdapat 197 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 79 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tambah beliau, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 563 kes (0.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Tiga kes kematian dilaporkan di Sabah dengan termuda melibatkan pesakit wanita berusia 19 tahun yang meninggal dunia di Papar.

“Kes tersebut mempunyai sejarah penyakit anemia dan jenazah dibawa ke Hospital Papar,” ujarnya.

Kata Noor Hisham, sebanyak 11 kluster baharu dilaporkan hari ini termasuk berkaitan tempat kerja.

Kes sembuh yang dilaporkan hari ini pula 994.