Baru mohon, MyIPO nafi Harimau Menangis hak eksklusif ibu Neelofa

1
228

KUALA LUMPUR – Cap dagangan Harimau Menangis yang didakwa sudah dimiliki ibu seorang selebriti terkenal sebenarnya masih dalam peringkat permohonan, bukan milik sesiapa lagi, kata Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Ketua Pengarahnya, Datuk Roslan Mahayudin berkata, permohonan daripada usahawan Noor Kartini Noor Mohamed diterima November lalu.

Roslan Mahayudin

Menurut beliau, permohonan itu masih di peringkat pemeriksaan MyIPO dan sehubungan itu jenama Harimau Menangis yang dipohon beliau belum lagi menjadi hak eksklusif beliau.

“Sehubungan itu, Noor Kartini diminta untuk tidak mendahului keputusan MyIPO dengan mendakwa jenama Harimau Menangis telah didaftarkan sebagai cap dagangan dan menjadi hak eksklusif beliau.

“MyIPO akan memproses permohonan beliau seperti mana biasa di mana sebarang keputusan yang dibuat adalah berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut Roslan, permohonan Noor Kartini menerusi syarikatnya Noor Khan Enterprise sama ada diluluskan atau tidak bergantung kepada hasil pemeriksaan dan pertimbangan MyIPO.

Netizen meluahkan rasa tidak puas hati sejak semalam apabila Noor Kartini mendakwa nama Harimau Menangis hak ekslusif syarikatnya./ Gambar media sosial

Tambahnya, MyIPO terpanggil memberi penjelasan setelah tular sejak semalam mengenai isu nama produk Harimau Menangis keluaran Noor Khan Enterprise dan Noor Kartini juga dilihat memuat naik video di media sosial menyatakan bahawa beliau telah mendaftarkan dan mempunyai hak ekeslusif ke atas cap dagangan Harimau Menangis.

Sementara itu, dalam satu hantaran di media sosial hari ini, syarikat tersebut memohon maaf dan mengakui terdapat kesilapan penggunaan kata-kata apabila mendakwa nama harimau menangis menjadi milik eksklusif mereka.

Noor Khan Enterprise menerusi Instagram Aunty Tini Kitchen memuat naik kenyataan rasmi mengenai dakwaan yang dikaitkan dengan perniagaannya itu.

Sejak video itu tular semalam, netizen mengecam dakwaan berkenaan kerana nama harimau menangis digunakan zaman berzaman bagi merujuk bahagian tertentu daging lembu yang biasanya dimasak secara bakar.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Neelofa mohon maaf, hanya patenkan tulisan pada produk Harimau Menangis

1 COMMENT

Comments are closed.