pilihan raya


ANALISIS

Musuh-musuh politik Tan Sri Muhyiddin Yassin sememangnya tidak senang berikutan langkah Perdana Menteri mengusulkan pengisytiharan darurat dalam usaha mengekang pandemik Covid-19, tetapi yang pasti Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah sudah memperkenankannya.

Daripada mereka ‘menggelupur bagaikan ayam kena sembelih’, malam pun tidur tak lena, ‘jiwa jadi kacau’ berikutan langkah Muhyiddin, lebih baik mereka beri tumpuan memerangi pandemik tersebut. Ia kerana apabila wabak itu reda maka bolehlah pilihan raya umum diadakan.

Perdana Menteripun sudah beri akujanji berhubung perkara itu kecualilah ada dalam kalangan ahli politik sama ada pembangkang mahupun kerajaan berhasrat menjadi Perdana Menteri atau tukar kerajaan tanpa perlu melalui pilihan raya. Jika mereka tidak ada niat seumpama itu tidak payahlah dok memekak siang malam.

Rakyat tengah serabut dengan ancaman Covid-19. Hidup mereka terjejas, sengsara pelaksanaan PKP sebelum ini masih belum sembuh dan kini terpaksa tempuh sekali lagi perintah kawalan tersebut.

Malangnya ahli politik dok sibuk nak berpolitik, dok kalut nak pilihan raya. Hari-hari bercakap soal kuasa, hari-hari dok bertekak soal ada majoriti atau tidak, hari-hari ke sana ke sini cari sokongan nak jadi Perdana Menteri, hari-hari dok desak pilihan raya dibuat secepat mungkin.

Mereka seolah-olah tidak ada hati nurani, hanya fikir politik peribadi dan kelompok masing-masing sahaja, lepas tu guna nama rakyat, beri alasan pelabur asing takut datang sebab politik tak stabil, kerajaan rapuh.

Memanglah tak stabil, kalau hari-hari kena kacau, macam buah kelapa muda atas pokok la, kalau setiap hari kena jolok, mestilah jatuh. Dan sudah pastilah rapuh sebab yang dok dalam kerajaan tiba-tiba tarik balik sokongan atas pelbagai alasan, lepas tu suruh kerajaan buat itu, buat ini untuk tolong rakyat, nak tunjuk kononnya mereka pejuang nasib rakyat.

Macam mana kerajaan nak tolong rakyat, macam mana kerajaan mahu stabilkan negara, macam mana kerajaan nak kukuhkan ekonomi, kalau ada puak-puak yang siang malam nak berpolitik, bukannya nak tolong rakyat sangat.

Kalau betul nak tolong rakyat, kalau benar nak pulihkan ekonomi negara, dok diam-diam, buat gencatan politik, sama-sama tolong kerajaan perangi Covid-19, tu barulah betul.

Yang di-Pertuan Agong pun dah perkenan penubuhan Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh ahli Parlimen Kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan yang berkait untuk mengesyorkan kepada Seri Paduka jika pelaksanaan darurat ini boleh ditamatkan.

Maknanya bukan Muhyiddin yang akan tentukan bila nak tamatkan darurat tapi jawatankuasa bebas tersebut, apa nak risau. Jadi berhentilah berpolitik ‘macam ayam kena sembelih’, apabila darurat diisytiharkan.

Kita tumpu dulu selesaikan masalah Covid-19 bersama-sama supaya Muhyiddin dan Kabinet dapat tumpu perhatian untuk atur strategi bagaimana mahu memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat.

Nanti bila pandemik sudah reda, ada pilihan raya bertarunglah. Kalau yakin parti kita kuat, kalau rasa kita pemimpin hebat, kalau percaya sekutu kita masih bersama kita, usah bimbang. Hal darurat ni tenang-tenang sahaja, jangan dok ‘menggelupur’ sangat sebab nanti orang kata, yang dok buat perangai macam tu kemaruk kuasa. Betul tak?