PUTRAJAYA – Negara memerlukan sekurang-kurangnya empat minggu untuk mengurangkan kes jangkitan COVID-19 harian antara 1,000 kepada 500 sehari.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya berharap pengurangan kes jangkitan dalam tempoh berkenaan membolehkan kemudahan kesihatan sedia ada menampung dan merawat pesakit COVID-19 di negara ini.

Memetik laporan BH Online, katan Noor Hisham, dalam tempoh dua minggu ini, Kementerian Kesihatan (KKM) akan melihat data jangkitan COVID-19 untuk mengetahui sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini, dapat mengurangkan kes jangkitan baharu.
“Pada hemat saya, dalam tempoh dua minggu kita tidak boleh mengurangkan (kes jangkitan harian) tetapi kita boleh mengelakkan kes semakin bertambah.
“Selepas PKP, kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pada Mei dan Jun, kita jangka dapat melandaikan kes jangkitan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan jangkitan COVID-19, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, masih terlalu awal untuk KKM membuat unjuran jangkitan kes menjelang April depan namun pihaknya berpendapat Malaysia kini berada pada landasan yang betul membendung pandemik itu.
Justeru, beliau mengharapkan rakyat negara ini patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menurut beliau, dalam tempoh menjelang Mei barulah lekuk penularan COVID-19 dapat dilandaikan.