Hadi bidas kelompok terus berpolitik guna alasan tak matang ketika Covid

0
305

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini membidas kelompok yang masih berpolitik sepanjang masa dengan pelbagai alasan yang tidak matang dan sejahtera ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Katanya, ada kalangan mereka yang menganggapnya tidak berbahaya, sehingga menyatakan masih boleh diatasi dengan teori-teori tanpa praktikal, seolah-olah tidak berada di planet bumi yang sedang diancam wabak.

”Fikiran mereka sudah sampai ke tahap tidak peka dengan bahaya yang mendatang dan tidak mempedulikan nasihat yang diberikan,” katana dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi berkata, pada waktu yang gawat ini, mereka masih berbahas siapa yang layak menjadi Perdana Menteri, walaupun dalam keadaan mereka berpecah belah tidak mampu mengumpulkan jumlah yang mencukupi.

‘’Ada juga yang telah tenggelam bahteranya, tetapi masih berpaut. Sebahagian lain pula tanpa sedar sudah hampir tenggelam bahtera mereka. Sehingga ada yang menghantar nama kepada Yang di-Pertuan Agong dengan tandatangan tanpa angka, laksana menyerahkan cek kosong supaya Tuanku meletakkan berapa jumlahnya,’’ katanya.

Ketika menyentuh soal itu, Abdul Hadi secara sinis menyertakannya dengan serangkap pantun berbunyi;

Jangan menangis jangan meratap,
Letak surat ke dalam sampul,
Tidak mampu nak tebuk atap,
Jangan marah pahatnya tumpul.

Abdul Hadi berkata, seluruh dunia dilanda wabak COVID-19 yang merebak dengan ganas di seluruh dunia, tanpa penemuan vaksin pencegahan berkesan dan ubat mujarab sepenuhnya.

Kata beliau, sehingga kini sudah beberapa negara mengisytiharkan darurat kesihatan, sama ada dilaksanakan di seluruh negara atau kawasan yang terhad.

‘’Malaysia juga berada di alam muka bumi yang sama dengan masyarakat kemanusiaan yang besar, maka kewaspadaan dan tindakan yang sama perlu diambil,’’ katanya.

Kata beliau, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengambil langkah seawal berlakunya wabak ini seperti di negara-negara lain dan berjaya mengawal penularannya dengan kadar yang terhad, namun ia masih lagi belum mampu mengatasi penularan wabak sepenuhnya.

‘’Maka langkah seterusnya wajib diambil secara proaktif, sama ada tindakan menghadapi cabaran pencegahan dalam negara sendiri, atau ancaman wabak yang datang daripada luar, khususnya pendatang tanpa izin yang susah dikawal dengan undang-undang dan peraturan biasa,’’ katanya.

Sehingga kini, tegas Abdul Hadi wabak COVID-19 sudah menjadi ancaman terhadap pasukan barisan hadapan yang telah didapati positif. Mereka terdiri daripada pasukan keselamatan, kesihatan dan pentadbiran, bukan sahaja rakyat awam biasa.

‘’Penularan yang berlaku berpunca daripada pelbagai sebab yang mewajibkan kerajaan bertindak lebih awal dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang membahayakan. Keadaan semasa yang belum terkawal juga memerlukan tindakan yang luar biasa bagi menangani wabak ini sepenuhnya,’’ kata beliau.

Oleh itu kata Abdul Hadi, darurat bagi menyekat penularan wabak COVID-19 wajib dilaksanakan.

‘’Semua pihak perlu berhenti sekejap berpolitiking, walaupun masih ada yang tidak mahu mengaku kalah dengan apa sahaja tindakannya,’’kata beliau lagi.