HAQIEM RUSLI

BARU lima hari dimuat naik, video muzik Mimpi nyanyian Haqiem Rusli telah merekodkan sejuta tontonan.

Sudah tentu ia permulaan 2021 yang membanggakan buat Bintang Paling Popular ini setelah lima tahun bergelumang dalam dunia seni.

Single yang merupakan ke-14 itu juga turut menjadi lagu runut bunyi drama Bidadari Salju lakonan Sweet Qismina dan Adam Lee yang ditayangkan di TV3.

“Ramai yang mesej langsung (DM) saya dan bertanya kenapa bila cari di Youtube, lagu Mimpi tiada. Sebenarnya, pertanyaan itu buatkan saya rasa gembira dan dihargai peminat.

“Video muzik ini sudah ada di Youtube rasmi FMC Music sejak 7 Januari lalu. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana jumlah tontonan sudah merekodkan sejuta tontonan.

“Bila ramai yang bertanya, keterujaan itu jadi luar biasa. Seolah-olah macam nak keluarkan single pertama dulu,” kata Haqiem yang turut bekerjasama dengan pelakon dan penerbit Datuk A.Aida bagi single berkenaan.

Menurut pemilik nama lengkap Ridzuan Haqiem Rusli,23, dia meletakkan harapan tinggi kepada Mimpi. Malah, dia bukan sahaja mahu dikenali sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai pencipta lagu.

“Bohonglah kalau saya kata tidak meletakkan harapan yang tinggi. Ini lagu saya, mestilah harapkan sesuatu daripada hasil kerja keras sendiri.

“2021 ini saya nak orang mengenali Haqiem Rusli bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi juga sebagai komposer yang disegani,” jelasnya yang turut menjadikan Datuk M.Nasir dan Datuk Ahmad Nawab sebagai idolanya.

HAQIEM Rusli mahu video muzik Mimpi catat 50 juta tontonan di Youtube

Haqiem yang bernaung di bawah syarikat pengurusan FMC Music, pernah meledak dengan barisan lagu antaranya Tergantung Sepi, Lembah Kesepian, Bangkit, Selamat Tinggal Sayang dan banyak lagi.

Meskipun meraih kejayaan cemerlang dengan deretan lagu yang dinyanyikan secara solo, namun ada juga peminat yang mahu melihat dia bergandingan dengan penyanyi wanita seperti mana penyanyi lelaki lain lakukan.

“Buat masa ini saya lebih selesa fokus pada nyanyian solo. Bukan tak mahu, tapi nanti dululah. Ada penyanyi wanita yang mempelawa saya untuk berduet, namun saya menolak dengan baik kerana biarlah saya betul-betul sukses dengan lagu solo dan lagu ciptaan sendiri.

“Ramai juga yang minta saya buatkan lagu untuk mereka, tetapi memandangkan waktu saya agak terhad, saya mohon maaf permintaan mereka tidak dapat penuhi buat masa ini.

“Saya harap single kali ini berjaya mencatatkan tontonan lebih 20 juta mengatasi catatan tertinggi lagu Selamat Tinggal Sayang. Mimpi adalah buah tangan saya di tahun baharu 2021 buat semua peminat yang dikasihi. Kita bagi tontonan lebih 50 juta pula kali ini!,” seloroh Haqiem.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi