
KUALA LUMPUR – “Dalam waktu krisis dan perang, seluruh negara mesti bersatu padu sebagai sebuah pasukan melawan musuh bersama.”
Demikian rayu Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan terbarunya.
Noor Hisham yang dianggap panglima utama dalam peperangan dengan COVID-19 juga mengingatkan rakyat Malaysia yang tempoh dua minggu ini sangat kritikal.
Bagi beliau, rakyat perlu untuk tinggal di rumah dan jangan ke mana-mana sepanjang tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam ciapannya, beliau berkata, rakyat digesa untuk tidak menghadiri aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial, seperti mana yang digariskan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) lerajaan.
“Saya merayu kepada anda semua terus duduk di rumah. Tempoh dua minggu ini sangat penting untuk kita dan negara,” katanya
Ujarnya lagi, pematuhan kepada SOP amat penting dalam usaha semua pihak menangani gelombang ketiga COVID-19, di kala trend jelas menunjukkan kadar peningkatan yang agresif.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin mengumumkan pelaksanaan PKP 2.0 bagi menangani gelombang ketiga wabak itu.
Enam negeri yang dikategorikan sebagai negeri PKP ialah – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.
Beliau berkata, enam negeri yang dikategorikan sebagai PKP Bersyarat (PKPB) pula ialah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, dan Kelantan, manakala dua negeri di bawah kategori PKP Pemulihan (PKPP) ialah Perlis dan Sarawak.
Pada masa sama, pengisytiharan darurat dibuat di Malaysia semalam sehingga 1 Ogos bagi mengelakkan usaha kerajaan menguruskan COVID-19 dan ekonomi diganggu gugat.